Cari @ Amanz

Salah satu fokus utama Google melalui pelayar web Chrome mereka adalah kepantasan, selain daripada sekuriti dan sebagainya. Dan hari ini, melalui kemaskini Google Chrome 17 Beta, mereka terus membawakan pelbagai penambahan kepada pelayar web yang semakin meningkat popularitinya itu dari hari ke hari.

Melalui Chrome Beta yang baru, ia membawakan sokongan untuk membuka laman web dengan lebih pantas lagi. Chrome 17 Beta kini diintegrasikan dengan sokongan baru, dimana ia membuka laman web ketika anda sedang menaip URL pada bar alamatnya. Ia mungkin menggunakan teknologi yang lebih kurang sama dengan Instant Search pada Google. Namun menurut Google, melaluinya, sekiranya URL yang anda taip itu adalah salah satu laman yang anda sering lawat, dan disokong dengan auto-complete, maka Chrome akan mula membukanya sedikit demi sedikit dibahagian belakang, dan bersedia sebelum anda menekan butang Enter.

Pada masa yang sama, dari segi sekuriti pula, kini teknologi Google diperluaskan, dimana ia bukan sekadar menyemak laman-laman yang mengandungi virus dan sebagainya, tetapi turut menyemak muat-turun anda, dimana ia kini boleh menyemak fail yang dimuat-turun oleh anda untuk mengetahui samada adakah ianya mengandungi virus ataupun sebaliknya. Namun begitu, sokongan ini hanya untuk fail-fail *exe dan juga *msi sahaja buat masa ini.

Jadi, bagi anda yang berminat, mungkin boleh memuat-turun Chrome 17 Beta daripada saluran rasmi Google, dan mula menggunakan pelbagia fungsi baru ini terlebih dahulu sebelum pengguna yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd