Saya berkesempatan untuk menghadiri pelancaran (atau pelancaran semula) Mobile Monday Malaysia 2.0 yang telah diadakan di Rooftop G-Tower, Jalan Ampang Kuala Lumpur pada hari ini (9 Januari 2012).
Mobile Monday (MoMo) ialah salah satu inisiatif bebas yang telah diwujudkan semenjak tahun 2000 bermula di Helsinki, Finland. Sehingga kini, ia telah berjaya menwujudkan satu komuniti yang prihatin terhadap industri mudah-alih. Ramai penggerak dan penggiat industri mudah-alih dunia yang memberi sokongan kepada MoMo. Antara pengasas MoMo ialah Peter Vesterbacka iaitu Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Rovio yang terkenal dengan Angry Birds.
Di Malaysia, kehadiran MoMo telah bermula semenjak tahun 2010 lagi dan pada kali ini, penggerak industri merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk menyemarakkan lagi komuniti MoMo. Lantas itu, ia dilancarkan kembali dengan sokongan beberapa pihak seperti MDeC, dan GoMobile.
Ditanya mengenai inisiatif Mobile Monday Malaysia 2.0, Encik Janny Paul selaku Pengerusi Mobile Monday Malaysia Berhad, menyatakan bahawa inisiatif MoMo kali ini mendapat sokongan mantap ramai pihak dan antara perkara penting yang diumumkan ialah :
- MoMo Malaysia akan diadakan pada setiap hari Isnin pertama setiap bulan.
- MoMo Malaysia mendapat tajaan lokasi kekal yang bakal digunakan sebagai tempat pertemuan iaitu di Rooftop G-Tower Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
- MoMo Malaysia berharap akan lebih ramai lagi penggiat dan penggerak industri kandungan mudah alih tempatan yang akan melibatkan diri dengan MoMo.
- MoMo Malaysia akan menjadi tempat untuk mempertemukan pelbagai pihak untuk menggerakkan industri mudah alih tempatan kearah yang lebih maju.
Antara yang hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Eksekutif MDeC Datuk Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Malaysia Encik Nazrin Hassan dan ramai lagi.
Pada majlis yang sama, sebuah perjanjian telah ditandatangani antara Mobile Monday Malaysia Berhad dengan pihak pengurusan G-Tower yang disaksikan oleh Datuk Badlisham Ghazali. Perjanjian Persefahaman atau MoU itu ialah untuk menjadikan G-Tower lokasi perhimpunan MoMo dimasa akan datang.
Untuk maklumat lanjut mengenai Mobile Monday Malaysia, bolehlah melawat laman rasmi mereka di http://www.mobilemonday.com.my (ketika artikel ini ditulis, ia masih lagi dalam proses pembangunan).
Ditulis oleh @asrialbaker untuk Amanz.my. Ikuti penulisan beliau di i-Symbian.