Nampaknya, pelancaran storan awan daripada Google semakin hampir, dengan kini laman Google Drive mula memperlihatkan halaman 404 serta mempunyai sebuah halaman Support yang masih belum memaparkan sebarang perkara lagi. Ia masih lagi tidak diketahui sepenuhnya, bilakah ia akan dilancarkan, ataupun sekadar ujian sahaja oleh Google.
Untuk makluman, perkara berkaitan dengan Google Drive telah diperkatakan sejak beberapa tahun sebelum ini lagi. Namun, dengan Google Docs yang mula memperkenalkan sokongan storan pelbagai jenis fail, berita mengenai Google Drive mula jarang kedengaran. Walaubagaimanapun, kelihatan Google masih lagi sedang memfokuskan padanya, dan mungkin kita akan melihatnya pada tahun ini.
Ia masih lagi tidak diketahui bagaimanakah ianya akan berfungsi. Berkemungkinan ia akan menjadi salah satu perhentian untuk segala storan pada perkhidmatan Google, termasuk dari Picasa, Google Docs dan sebagainya. Mungkin juga ia akan diintegrasikan pada ChromeOS. Pelbagai spekulasi yang mula hadir sekarang, dan mungkin kita perlu nantikan jawapannya daripada pihak Google berkaitan perkara ini.