Pemuat-turun filem dan drama sangat mengenali Matroska Video tanpa mereka sedar. Matroska Video, ataupun video yang mempunyai suffix-name .mkv pada sesebuah fail video ini terkenal kerana “ringan”.
Matroska Video ialah merupakan format video merupakan satu pendapat atau pernyataan yang kurang tepat. Lagi tepat? Ia sebenarnya boleh diibaratkan sebagai bekas untuk mengecilkan saiz video. Secara teknikal, Matroska Video merupakan FORMAT FAIL yang boleh menyimpan, atau memegang fail-fail video, audio, gambar sarikata di dalam SEBUAH FAIL sahaja, iaitu fail .mkv itu sendiri.
Fail-fail yang biasa dimampatkan di dalam fail Matroska ialah fail video AVI, fail video MP4 dan juga ASF tapi ia tidaklah terhad kepada 3 format ini sahaja. Jenis fail bagi Matroska ada 4 iaitu *.mkv untuk fail video, *.mk3d untuk video stereoscopic, *.mka untuk fail audio sahaja dan *.mks untuk sarikata sahaja.
Dari manakah asalnya perkataan “Matroska” itu? Ia berasal dari perkataan Russia yang bermaksud nesting doll atau juga dikenali sebagai patung Babushka. Ini bertepatan dengan fungsi Matroska itu sendiri, sebagai bekas (container).
Projek untuk pembangunan Matroska ini bermula pada tahun 2002 lagi, merupakan projek yang dialih (forked project) dari Multimedia Container Format kerana terdapat beberapa perselisihan pendapat di kalangan para pembangunnya.
Matroska Serta Pemain Media
Di dalam Windows, anda boleh memainkan fail berformat Matroska dengan menggunakan The KMPlayer dan juga GOMPlayer. Penggunaan pemain media yang lain kadang-kadang menjadikan video itu terlekat-lekat dan tidak licin operasinya.
Perhatian, bagi komputer lama yang sudah uzur, fail Matroska tidak dapat dimainkan dengan sempurna disebabkan oleh sifatnya sendiri yang termampat dan memerlukan spesifikasi komputer yang agak terkini. Barangkali anda tidak dapat membuka terus fail Matroska ini dengan komputer Intel Pentium II dengan RAM 128Mb sahaja.
Di dalam Linux, anda disarankan untuk menggunakan pemain media VLC, tidak digalakkan bagi anda untuk menggunakan Mplayer kerana akan terjadi proses lagging yang anda pasti tidak suka.
Matroska dan Pengalaman Saya
Saya mempunyai masalah dengan fail Matroska ini untuk dimainkan di dalam Linux dan juga beberapa pengguna lain juga menyatakan hal yang serupa. Pengguna Mplayer tegar seperti saya khususnya akan kecewa apabila fail Matroska tidak dapat dimainkan. Kadang-kadang juga, VLC sendiri memberikan ralat yang saya tidak suka.
Jika anda perasan, fail Matroska agak ringan. Bagi cerita bersiri yang mempunyai durasi masa selama 40-50 minit seperti drama bersiri The Mentalist boleh dimuat turun dalam versi Matroska hanya bersaiz 120Mb – 150Mb tetapi di dalam format AVI, sampai 300Mb atau 700Mb. Namun, kualitinya masih serupa. HQ tetap HQ, HD tetap HD.
Bagi cerita yang bedurasi selama 24 minit seperti The Big Bang Theory hanya bersaiz 60-80Mb sahaja, sama juga dengan anime jepun.
Kesimpulan
Fail Matroska memang bagus, kerana sifatnya yang kecil dan ringan, namun jika PC anda tidak cukup power, dapatkan sahaja PC yang baharu. Anda juga disarankan untuk menonton drama bersiri yang sudah saya nyatakan di atas, pasti memuaskan hati anda.
Oleh Aizan Fahri untuk Amanz.