Dengan dunia teknologi yang semakin berkembang pesat, semestinya bilangan akaun pengguna yang digodam turut bertambah, dan gergasi internet seperti Google semestinya menguji pelbagai cara baru untuk memastikan akaun pengguna mereka selamat. Dan salah satu kaedah baru yang diuji oleh Google sekarang adalah log masuk ke akaun melalui penggunaan kod QR.
Melalui fungsi baru ini, para pengguna boleh log masuk ke akaun Google mereka, pada komputer pihak ketiga, seperti di pusat internet, di perpustakaan ataupun komputer rakan-rakan, tanpa perlu menaip kata laluan mereka.
Untuk mengakses akaun Google, anda hanya perlu ke laman Google Accounts (Sesame), dan seterusnya mengimbas kod QR di sana melalui telefon pintar anda. Seterusnya melalui telefon pintar tersebut, para pengguna boleh menaip kata laluan mereka, dan seterusnya memberikan kebenaran untuk pelayar web tersebut mengakses akaun anda.
Untuk menjayakan perkara ini, Google menjana kod QR yang unik, yang mana akan tamat tempohnya dalam hanya beberapa minit sahaja. Sekiranya para pengguna sedikit terlambat, mereka perlu menjana kod QR baru, dan memulakan proses seperti biasa.