Pada tahun 90-an, buku teks amat tebal, dimana kemudian menjadi nipis sekitar tahun 2000-an, dan kini ia terus mengikut arus teknologi yang mengalir pantas. Hari ini, acara Apple yang dinantikan telah pun diadakan, membawakan buku teks dalam bentuk interaktif terus pada tablet mereka – iPad melalui aplikasi iBooks generasi baru – iBooks 2.
Melalui statistik yang biasa dikeluarkan oleh Apple pada setiap acara, mereka mengeluarkan beberapa angka, dimana menurut Apple, kini terdapat lebih 1.5 juta iPad yang digunakan dalam pendidikan, dan terdapat lebih kurang 20,000 aplikasi spesifik untuk pendidikan pada AppStore.
Dan dalam terus merevolusikan bidang pendidikan, hari ini Apple telah pun memperkenalkan iBooks 2 dengan memfokuskan kepada buku teks. iBooks 2 membolehkan para pengguna berinteraksi dengan kandungan buku teks, sekaligus menjadikan pemahaman lebih mudah berbanding buku teks biasa.
Pada masa yang sama, berbeza dengan buku teks biasa, menurut Apple, melalui buku teks yang ditawarkan melalui iBooks 2, ia akan membolehkan buku teks dikemaskini dengan data-data terkini serta-merta, selain para pembaca dan pelajar boleh mengakses kepada video, kandungan 3D dan sebagainya, sekaligus mendapatkan pandangan lebih mendalam mengenai sesuatu topik.
Pelajar juga boleh menambah nota pada buku teks digital yang ditawarkan, dan membuat nota ringkas, untuk dirujuk – sama seperti buku teks bercetak pada masa sekarang.
iBooks 2 ditawarkan secara percuma melalui AppStore bermula daripada hari ini, manakala buku teks digital yang ditawarkan berharga kurang daripada $14.99. Untuk pelancaran ini, Apple telah sedia bekerjasama bersama-sama dengan Pearson, McGraw Hill dan Houghton Mifflin dalam membawakan buku teks mereka dalam bentuk digital.
Kredit penuh gambar : All Things D