Cari @ Amanz

Penyataan kewangan daripada syarikat-syarikat gergasi internet merupakan salah satu cara untuk mengetahui perkembangan sesuatu syarikat itu, dan pada hari ini, Google secara rasminya, melalui CEO mereka, Larry Page telah pun mengeluarkan kenyataan kewangan bagi suku tahun ke-empat tahun lepas, 2011, memperlihatkan beberapa data menarik berkaitan Android.

Android merupakan anak emas Google, dimana ia merupakan salah satu fokus Google pada dunia mudah-alih, selain mengoptimasikan laman dan menyediakan aplikasi-aplikasi Google untuk platform dan peranti mudah-alih.

Sepanjang tahun lepas, Android telah berkembang dengan pesat, selain turut membawakan rekabentuk antaramuka yang baru. Hasil daripadanya, Google semakin menghampiri pesaing terdekat mereka, Apple.

Google kini melaporkan lebih 250 juta peranti Android telah terjual sepenuhnya, salah satu angka yang diumumkan oleh Apple pada bulan Oktober tahun lepas. Perkara ini, jikalau dilihat dari segi pengaktifan peranti Android yang melangkaui 700,000 peranti setiap hari, mungkin akan melangkaui Apple secara menyeluruh pada tahun ini.

Dari segi aplikasi pula, walaupun boleh diperkatakan, angka aplikasi berkualiti pada Android adalah kurang sedikit berbanding dengan pada iOS, perkara tersebut kini turut diberikan perhatian, dengan Google sendiri menyediakan beberapa panduan dalam pembangunannya.

Menurut Google, terdapat lebih daripada 11 billion aplikasi yang telah dimuat-turun daripada Android Market. Namun, pembahagiannya antara aplikasi berbayar dan juga percuma adalah tidak diketahui.

Tahun 2012 semestinya merupakan salah satu tahun bertuah untuk Google melalui Android, dan pada acara Mobile World Congress bulan hadapan yang bakal diadakan di Barcelona, pelbagai peranti Android baru dijangka akan diperlihatkan dan dilancarkan oleh pelbagai jenama besar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd