Dengan pembukaan peluang untuk pembangun tempatan dan beberapa negara lain untuk menghantar aplikasi mereka ke Marketplace, kini bilangan aplikasi pada Windows Phone Marketplace dilihat meningkat secara mendadak, dimana dalam kurang 25 hari, angka aplikasi keseluruhan telah meningkat sebanyak 10,000 aplikasi, menjadikan jumlah aplikasi di Windows Phone Marketplace melangkaui angka 60,000.
Ia sekaligus memperlihatkan yang mana ramai pembangun mula memberikan perhatian serius kepada platform Windows Phone ini. Selain daripada itu, memandangkan Microsoft telah menandatangani kerjasama bersama pihak Nokia, masa depannya kelihatan agak cerah, dan lebih ramai pembangun Nokia turut membangunkan aplikasi mereka untuk platform Windows Phone.
Di Malaysia, sokongan Marketplace dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi, dan disasarkan akan dilancarkan bersama-sama dengan peranti Nokia Lumia yang dijangka akan memasuki pasaran pada bulan Februari kelak. Mungkin Microsoft akan membuat pengumuman rasmi mengenai angka aplikasi bersama-sama dengan pelancaran tersebut kelak.