Lebih 350,000 Buku Teks Digital Telah Dimuat-Turun Dari Apple iBooks 2

Lebih 350,000 Buku Teks Digital Telah Dimuat-Turun Dari Apple iBooks 2

Diterbitkan pada Jan 23, 2012 oleh .

Apple pada minggu lepas, telah pun memperkenalkan salah satu perkara baru, iaitu iBooks 2 yang memfokuskan kepada buku teks digital, dengan kebolehan untuk menambah nota tambahan pada buku digital, selain menandakan teks dan sebagainya. Kini, melalui statistik awal yang dikeluarkan, sebanyak lebih 350,000 buku teks digital telah dimuat-turun melalui iBooks dalam tempoh tiga hari sejak dilancarkan.

Walaupun tidak diketahui buku apakah yang menjadi pilihan pengguna, kami menjangkakan ianya adalah buku digital, Life on Earth yang bersaiz hampir 1GB dan ditawarkan secara percuma, sekaligus membolehkan para pengguna mendapat idea awal berkenaan bagaimana buku teks digital berfungsi sepenuhnya.

Selain daripada iBooks 2, Apple juga turut memperkenalkan perisian untuk membangunkan buku digital oleh para pengguna dengan mudah, melalui iBooks Author. Perisian tersebut yang memfokuskan pengguna OS X diperkatakan telah dimuat-turun lebih 90,000 kali dalam tempoh yang sama.

Sekiranya angka ini adalah benar, mungkin kita boleh melihat perkembangan sihat dalam dunia buku teks digital dalam bulan-bulan akan datang.


TIPS & ULASAN