WutMedia Memberikan Fokus Penuh Untuk Penerbitan Digital Sepanjang 2012

WutMedia Memberikan Fokus Penuh Untuk Penerbitan Digital Sepanjang 2012

Diterbitkan pada Jan 25, 2012 oleh .

Salah satu ramalan Amanz sepanjang tahun 2012 adalah letusan media digital, dari segi teks, video, dan juga aplikasi dan sebagainya. Pada minggu lepas, Apple telah pun mengorak langkah awal, dimana memperkenalkan iBooks 2 dan juga aplikasi pembangunan kandungan iBooks Author. Dari segi pasaran tempatan pula, WutMedia juga sedang bersedia dalam melancarkan beberapa produk mereka sepanjang tahun ini.

Untuk makluman, WutMedia merupakan pembangun disebalik aplikasi iOS untuk Amanz yang boleh dimuat-turun secara percuma daripada AppStore. Platform tersebut yang dikenali sebagai Wut2Feed dijangka akan menerima pelbagai penambahan pada suku tahun pertama ini, termasuk integrasi sokongan YouTube, Vimeo, Picasa, Facebook, Twitter dan banyak lagi. Harap mereka boleh turut menyertakan integrasi sokongan SoundCloud padanya sekaligus menyokong bukan sahaja video, dan teks, tetapi turut membawakan sokongan untuk audio.

Pada masa yang sama, mereka juga sedang membangunkan sebuah aplikasi pembacaan berbentuk majalah. Buat masa ini, namanya tidak diketahui, tetapi melalui gambar awal yang diperlihatkan, ia dinamakan sebagai WP Reader. Aplikasi ini ditujukan khas untuk pengguna tablet, dimana melaluinya ia akan membawakan sokongan seumpama aplikasi FlipBoard dalam pembacaan.

WutMedia juga pada masa yang sama sedang dalam proses membangunkan aplikasi penerbitan digital, yang akan membolehkan para penerbit majalah dan sebagainya, menggunakan platform mereka dalam menawarkan versi digital. Buat masa ini, rakan kerjasama untuk aplikasi ini masih tidak diketahui, dan melalui apa yang diperlihatkan, ianya membawakan fungsi seumpama aplikasi Harian Metro pada iPad.

Selain daripada itu, sebelum ini, melalui video khas, mereka telah pun memperlihatkan aplikasi pembacaan komik pada iPad, dan mungkin ianya juga akan dilancarkan pada tahun ini.

Semestinya ini bukan sepenuhnya, dan mereka mungkin mempunyai lebih banyak perancangan dalam membawakan dunia penerbitan digital ke tahap seterusnya.

Jadi, apakah yang anda ingin lihat dalam dunia penerbitan digital tempatan sepanjang tahun ini?


TIPS & ULASAN