Nampaknya, tidak salah Nokia menerima sebanyak RM765 juta daripada Microsoft atas dasar sokongan platform Windows Phone, dimana Nokia dilihat satu-satunya pengeluar peranti yang memfokuskan kepada pembangunan platform tersebut. Dalam terus membawakan nilai tambahan kepada peranti Nokia Lumia, kini dilihat Nokia bersama-sama dengan EA bakal membawakan pelbagai permainan untuk platform tersebut.
Melalui kerjasama yang diumumkan baru-baru ini, Nokia bersama-sama dengan EA mengumumkan akan membawakan lebih daripada 25 permainan popular ke platform Windows Phone. Dan melalui Nokia Conversations, hari ini mereka memperlihatkan, antara permainan yang akan tiba ke peranti Nokia Lumia tidak lama lagi adalah termasuk Real Racing 2, Sms Medieval, Mirror’s Edge, Monopoly, Spy Mouse, Tiger Woods PGA Tour, Vampire Rush, Parking Mania, Picnic Wars, dan juga Yahtzee.
Memandangkan Nokia bekerjasama bersama-sama dengan pihak EA secara terus, mungkin kita boleh dapat melihat permainan tersebut lebih dioptimasikan untuk Nokia Lumia berbanding peranti Windows Phone lain, dan tidak mustahil beberapa peranti Nokia baru ditawarkan dengan permainan percuma, ataupun ditawarkan pada harga yang murah. Malah pada Marketplace di peranti Nokia Lumia, terdapat bahagian khas untuk pengguna Nokia.
Di Malaysia, peranti Nokia dijangka akan mula dijual bermula bulan hadapan, dan beberapa set ujian telah pun mula kelihatan di Nokia Store seluruh negara.