Sejak awal tahun ini, laman utama Bernama, yang membawakan pelbagai berita dalam dan luar negara yang dikemaskini dengan pantas memperkenalkan beberapa perubahan, antaranya adalah pengenalan butang pembelian berita, membolehkan sesiapa sahaja membeli artikel mereka, dan juga terkini adalah logo yang diberikan nafas baru pada laman mereka.
Untuk makluman, Bernama menyediakan perkhidmatan sebagai penyedia berita, membolehkan pelbagai agensi dan media lain membeli dan melanggan artikel mereka untuk digunakan untuk tujuan percetakan dan penerbitan semula. Di arena media internet, salah satu pelanggan mereka adalah ILuvIslam. Namun, dengan budaya menyalin dan menerbitkan kembali artikel mereka tanpa sah, mungkin pihak Bernama ingin menekankan kembali perkhidmatan mereka, dengan memperkenalkan butang pembelian berita pada setiap artikel yang dikeluarkan mereka.
Namun, ujian ringkas yang dilakukan kami, memperlihatkan pendaftaran untuk membeli sesuatu berita masih sukar, dan percubaan kami gagal setiap kali cuba mendaftar untuknya.
Selain daripada itu, salah satu perkara utama yang diberikan perhatian pada minggu ini adalah perubahan bahagian logo pada laman Bernama.com, dimana ia diberikan nafas baru yang lebih segar lagi. Mungkin dalam masa beberapa minggu lagi, kita akan terus dapat melihat beberapa perubahan minima pada laman berita terkemuka negara tersebut.