Beberapa syarikat pengeluar telefon pintar terkemuka dunia, telah pun mengeluarkan laporan kewangan tahunan mereka, sekaligus memperlihatkan bagaimanakah prestasi mereka pada suku tahun ke-4 yang lepas. Walaupun Apple mendahului pada suku tahun ke-4 dengan jualan lebih 37 juta peranti, secara keseluruhan, Samsung mendahului pada tahun 2011, dengan jualan sebanyak 95 juta telefon pintar.
Apple pula mengekori rapat dibelakang Samsung dengan perbezaan yang amat kecil, iaitu 93 juta, dan Nokia pada tempat ke-3 dengan jualan sebanyak 77 juta. Walaupun Apple dan Samsung masing-masing memperlihatkan peningkatan, berbeza pula bagi Nokia yang memperlihatkan pengurangan jualan telefon pintar sepanjang tahun 2011. Namun, dengan keluarga Nokia Lumia, perkara ini mungkin mengalami perubahan pada tahun ini.
Dari segi jualan telefon bimbit secara amnya, Nokia masih mendahului dengan jualan sebanyak 417 juta sepanjang tahun 2011, diikuti Samsung dengan 327 juta. Memandangkan Apple hanya mengeluarkan iPhone sahaja, maka jualan mereka sama seperti jualan telefon pintar, dengan 93 juta unit sepanjang tahun 2011.
Walaubagaimanapun, untuk makluman, ini hanyalah data awal, memandangkan belum semua syarikat mengeluarkan laporan kewangan masing-masing untuk suku tahun ke-4 yang lepas.