Selepas kemaskini Mango yang dikeluarkan pada tahun lepas, pada tahun ini, Microsoft bakal memperkenalkan dua kemaskini utama kepada platform mereka, iaitu kemaskini Apollo dan juga Tango. Kini beberapa info awal mula kedengaran, memperkatakan kemaskini Tango kelak bakal membawakan sokongan sehingga 3 kali ganda berbanding sedia ada.
Buat masa ini, Mango menyokong sehingga 35 bahasa berbeza, dan melalui kemaskini Tango kelak, ia disasarkan akan menyokong sehingga 120 bahasa dan menjadikannya lebih global. Apatah lagi dengan kerjasama bersama pihak Nokia, peranti tersebut bakal mencapai lebih banyak negara, dan semestinya sokongan bahasa merupakan salah satu perkara utama.
Selain daripada itu, ia turut dilaporkan Windows Phone bakal membawakan sokongan kepada C++ tidak lama lagi, membolehkan ia menyokong beberapa aplikasi dan perisian yang akan memudahkan pembangun permainan dan sebagainya.