Apollo Bakal Membawa Platform Windows Phone Ke Tahap Yang Lebih Tinggi

Apollo Bakal Membawa Platform Windows Phone Ke Tahap Yang Lebih Tinggi

Diterbitkan pada Feb 3, 2012 oleh .

Dengan Windows Phone Mango kini telah pun digunakan secara meluas, disamping beberapa peranti baru turut didatangkan bersama-sama dengannya, kini fokus mula beralih kepada Windows Phone 8 yang dikenali sebagai Apollo. Menariknya, hari ini, PocketNow telah pun mendapatkan beberapa senarai fungsi yang bakal didatangkan bersama-sama dengan Windows Phone 8, yang mana kelihatan menarik sekali untuk platform telefon pintar daripada Microsoft itu.

Sokongan NFC, LTE Dan Lain-Lain

Dengan pengenalan Nokia Lumia 900 tempoh hari, ia sedia maklum Windows Phone sudah sedia menyokong rangkaian LTE. Dan melalui Windows Phone 8 Apollo kelak, ia akan terus menambah pelbagai sokogan tambahan, termasuk sokongan cip pemprosesan lebih daripada satu teras, sokongan storan penuh pada mikroSD, dan juga apa yang dinantikan adalah sokongan NFC padanya.

Integrasi Skype

Salah satu perkara yang dinantikan sejak daripada tahun lepas adalah aplikasi Skype untuk Windows Phone. Kini, dengan pengesahan pengambilan-alihan Skype oleh Microsoft, ia dilaporkan Windows Phone 8 bakal membawakan integrasi penuh Skype padanya, membolehkan para pengguna menggunakannya untuk komunikasi dengan lebih menyeluruh lagi.

Integrasi Windows 8

Integrasi antara sistem operasi semestinya akan memberikan pelbagai nilai tambah untuk platform Windows Phone, apatah lagi Windows digunakan oleh majoriti komputer di seluruh dunia. Kini, melalui Windows Phone 8, ia diperkatakan akan membawakan sokongan integrasi bersama Windows 8, membolehkan ia beroperasi, tanpa keperluan Zune Desktop.

SkyDrive juga bakal memainkan peranan penting dalam perkara ini. Malah dengan sokongan NFC, ia diperkatakan akan membolehkan data antara Windows Phone 8 dan tablet Windows 8 dihantar dengan mudah.

Kawalan Data Melalui DataSmart

Ia diperkatakan Windows Phone 8 bakal membawakan sokongan baru dinamakan sebagai DataSmart yang akan membolehkan para pengguna mengawal penggunaan data mereka, lebih kurang seperti mana yang terdapat pada Android 4.0.

Pada masa yang sama, Microsoft mensasarkan untuk Windows Phone mempunyai lebih daripada 100,000 aplikasi ketika Apollo dilancarkan kelak.

Jadi, adakah sepanjang tahun ini, Windows Phone bakal mendapat perhatian ramai, bertambah lagi disokong oleh gergasi seperti Nokia?


TIPS & ULASAN