Yahoo! Search Menambah Tab Carian Aplikasi Untuk iOS Dan Android

Yahoo! Search Menambah Tab Carian Aplikasi Untuk iOS Dan Android

Diterbitkan pada Feb 4, 2012 oleh .

Populariti Yahoo! mungkin boleh diperkatakan semakin merudum akhir-akhir ini, dengan para pengguna lebih memfokuskan penggunaan enjin carian pada Google dan Bing. Namun, ia tidak menghalang mereka terus memperkenalkan perkara baru, dan terkini, mereka mengintergrasikan sebuah tab carian baru memfokuskan pencarian aplikasi.

Ketika artikel ini ditulis, Yahoo! App Search hanya menyokong carian aplikasi untuk iOS dan juga Android sahaja, membolehkan para pengguna melihat aplikasi berdasarkan kategori, mahupun membuat carian berdasarkan kata kunci yang digemari.

Setelah carian dilakukan, para pengguna boleh memilih untuk melihat info lanjut berkaitan dengan sesuatu aplikasi itu, ataupun memuat-turunnya terus. Apabila memilih untuk memuat-turun, ia membawa pengguna kepada beberapa pilihan, termasuk ke laman iTunes atau Android Market, ataupun membolehkan anda menghantarnya ke peranti anda melalui SMS, ataupun mengimbas kod QR yang dipaparkan.

Melalui percubaan ringkas kami, Yahoo! App Search kelihatan berfungsi dengan menarik, dan memaparkan beberapa aplikasi mengikut kata kunci yang tepat, lebih baik daripada carian terbina pada Android Market versi web. Ia juga amat berguna sekiranya anda ingin melakukan carian aplikasi iOS pada desktop anda dengan pantas.


TIPS & ULASAN