Cari @ Amanz

Ulasan ringkas ini adalah nukilan saudara Arif Ishak. Ikuti beliau di @Piratz ataupun pada blog beliau MrPiratz.com.

Mungkin dalam masa terdekat ini banyak berita yang melibatkan Nokia adalah melibatkan Nokia Lumia yang menggunakan sistem operasi Windows Phone 7 serba sedikit menenggelamkan kewujudan Symbian dan MeeGo. Tapi ianya tidak bermakna Nokia sudah tidak mengendahkan kewujudan peranti-peranti mereka yang menggunakan Symbian. Seperti yang anda tahu, lewat petang semalam kesemua peranti Nokia yang menggunakan sistem operasi Symbian Anna telah mendapat kemaskini terbaru iaitu Nokia Belle.

Belle membawakan peningkatan dan paparan yang baru jika dibandingkan dengan versi yang sebelum ini. Banyak maklum balas yang diterima mengatakan paparan Nokia Belle ini seakan-akan Android. Antara peningkatan pada Belle adalah pembaharuan pada widget, lebih banyak pilihan untuk penyesuaian, dan dan aplikasi serta fungsi NFC (bagi peranti yang dilengkapi NFC sebagai contoh Nokia C7).

Berikut adalah ciri-ciri yang terkandung pada Nokia Belle :

1. Pelbagai bentuk, saiz dan widget langsung – widget seperti jam, email pemain muzik, dan kalendar telah direka bentuk semula dan didatangkan didalam lima saiz yang berbeza-beza. Ianya juga boleh diatur secara bebas pada paparan skrin. ‘Toggle’ widget juga diperkenalkan bagi memudahkan pengguna mengaktifkan bluetooth atau menukar profail

2. Lebih skrin utama (homescreen) – Jika pada Symbian Anna anda hanya boleh menggunakan 3 sahaja skrin utama tetapi tidak pada Nokia Belle. Ianya telah ditambah dari 3 ke 6 skrin utama.

3. Pengenalan bar status – Ianya adalah tab pemberitahuan yang menggabungkan tetapan biasa dan pemberitahuan mesej masuk, panggilan tidak dijawab, dan lain-lain.

4. Bar navigasi dan menu – Bar navigasi dan tetapan pada bahagian bawah screen juga dibaharui. Ianya bertetapan dengan peralihan Nokia ke Qt Framework dan kelihatan hampir sama dengan Nokia N9.

5. Skrin kunci yang berinformasi – Skrin kunci kini memberitahu pengguna mengenai panggilan tidak dijawab, mesej, dan lain-lain. Ianya memudahkan pengguna memeriksa telefon sekali imbas. Latar belakang skrin kunci juga kini dipaparkan mengikut latar belakang skrin utama.

6. Peranti NFC – Kini dengan Nokia Belle, peranti yang telah mempunyai NFC dapat menggunakannya. Jadi mereka boleh berkongsi gambar, menyambung dengan aksesori, dan daftar masuk hanya dengan melakukan ‘tap’ pada peranti NFC lain.

Ulasan Ringkas Mengenai Nokia Belle

Jika dahulu aku hanya sempat melihat Nokia Belle kurang dari sejam semasa pergi melihat peranti Nokia 701, 700, dan 600. Tetapi, sejak petang semalam, akhirnya aku dapat menggunakan Nokia Belle yang ditunggu-tunggu oleh semua pengguna Nokia terutamanya pengguna Symbian Anna. Disebabkan itu, pihak Amanz.MY telah dengan kerasnya memaksa aku menulis ulasan mengenai Nokia Belle yang telah aku pasang pada Nokia E7. Jika sebelum ini aku menerima pelbagai maklumbalas yang buruk mengenai Symbian, tidak kiralah ianya Symbian Anna ataupun Symbian Series 60 (S60). Sebagai contoh maklumbalas mengenai prestasi Symbian yang agak ‘lag‘, kerap ‘hang‘ dan kurang stabil itu tidak disangkal oleh aku yang menggunakan Symbian Anna sebelum ini. Disebabkan masalah berikut, ramai pengguna Nokia berpindah ke Android dan iOS. Mungkin agak lambat pihak Nokia mengeluarkan kemaskini Belle ini. Oklah kan dari tak ada langsung.

Seperti yang aku telah beritahu diatas, untuk Belle skrin utama ditambah dari 3 menjadi 6. Ianya memberi lebih ruang untuk pengguna seperti aku yang banyak menggunakan aplikasi, widget dan memudahkan aku mengakses aplikasi tersebut. Idea menambah skrin utama tersebut amatlah bagus kerana aku tidak perlu melakukan ‘flash’ pada E7 ini bagi berbuat demikian. Ditambah dengan ciri baru iaitu bar status yang boleh diakses dengan meluncurkannya kebawah seperti yang terdapat pada sistem operasi Android dan iOS. Ianya memang dinanti-nantikan kerana ramai pengguna ingin mendapatkan capaian pada tetapan dan notifikasi dengan cepat. Jika Apple juga memasukkan fungsi tersebut pada iOS 5, mengapa tidak Nokia. Apa yang aku kurang minati adalah latar belakang pada skrin utama kerana aku perlu menetapkan gambar pada setiap skrin utama dan tidak dioptimumkan satu gambar untuk semua skrin utama.

Pada paparan menu pula, Nokia telah pun menyingkirkan folder supaya kesemua aplikasi dapat dilihat pada satu paparan sahaja dan tetapi, ianya tidak sesekali pun mengganggu prestasi E7 ini. Walaupun Nokia menyingkirkan folder, tetapi aku masih dibenarkan membuat folder bagi memudahkan aku mengkategorikan aplikasi tersebut. Apa yang aku kurang minati untuk pembaharuan menu ini adalah aku perlu ‘tap & hold’ ikon aplikasi untuk mengubah susunan atau meletakkannya pada skrin utama. Selain dari masalah ini, aku juga tidak dibenarkan membuat folder didalam satu folder yang lain. Nasib baik fungsi carian pada bar navigasi disediakan. Mudah sikit nak cari aplikasi.

Bukan sahaja paparan yang diperbaharui. Nokia Browser juga diperbaharui dan kelihatan mempunyai bar navigasi baru yang lebih mesra. Ia kelihatan lebih laju memuat laman web berbanding versi sebelum ini. Paparan split-screen juga akhirnya wujud apabila fungsi itu tidak dimasukkan pada sesetengah versi Symbian Anna. Untuk jumlah tetingkap yang boleh dibuka didalam satu masa ditambah menjadikan keseluruhannya 6 tingkap berbanding 3 tingkap yang dibenar pada versi sebelum ini. Malangnya, ianya masih belum boleh menyokong HTML5 sepenuhnya.

Lain-lain perbaharuan yang dibuat adalah pada galeri, pemain muzik, pemain video dan bahagian kenalan. Kesemuanya membawakan perubahan pada paparan antaramuka. Selain itu untuk bahagian pesanan atau mesej juga diberi paparan baru. Anda boleh memilih samaada untuk melihat dalam bentuk perbualan ataupun folder (inbox, outbox, dan lain-lain).

Kesimpulannya, dari segi paparan antaramuka Nokia Belle ini kelihatan seakan-akan Android yang ada dipasaran. Mungkin masih ada beberapa kekurangan, tetapi ia memberikan pengalaman baru bagi pengguna Nokia/Symbian seperti aku. Mungkin buat masa sekarang masih belum banyak aplikasi yang bersesuaian dengan Nokia Belle, tetapi anda boleh mencuba versi paling terkini untuk aplikasi yang anda mahu gunakan. Harap maaf jika ulasan ini tidak ditekankan pada prestasi Belle, ini kerana aku masih belum 24jam menggunakan Belle. Masih banyak lagi yang perlu diterokai.

Ulasan ringkas ini adalah nukilan saudara Arif Ishak. Ikuti beliau di @Piratz ataupun pada blog beliau