Zygy Ingin Menjadi Pusat Perhentian Setempat Untuk Pengguna Internet Tempatan

Zygy Ingin Menjadi Pusat Perhentian Setempat Untuk Pengguna Internet Tempatan

Diterbitkan pada Feb 13, 2012 oleh .

Bersempena dengan Minggu Media Sosial Malaysia 2012, beberapa produk sosial tempatan turut sama diperlihatkan, dan salah satunya adalah Zygy, yang mana memfokuskan dalam membawakan pelbagai perkhidmatan berasaskan internet pada satu lokasi, disamping turut mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan tempatan, seperti perkhidmatan TM, universiti tempatan dan sebagainya.

Buat masa ini, Zygy masih lagi pada peringkat beta, dan masih perlu melalui pelbagai pembangunan lagi. Melalui demonstrasi ringkas yang diperlihatkan kepada pihak kami. Zygy membolehkan anda mengikuti pelbagai kemaskini daripada seantero web, termasuk laman sosial seperti Twitter, Facebook, dan sebagainya terus melalui suatu halaman. Dalam erti kata lain, ia memfokuskan kepada menjadi laman permulaan pada pelayar web anda, seumpama iGoogle.

Jikalau pada iGoogle, ia menggunakan perkataan widget untuk membolehkan anda menambah pelbagai aplikasi pada laman tersebut, melalui Zygy, ia menggunakan perkataan Mashlet. Beberapa kategori disediakan, termasuk pendidikan, sosial, perkhidmatan, dan emel.

Namun begitu, ia tidak mengintegrasikan sokongan oAuth seperti perkhidmatan lain untuk sesetengah perkhidmatan, dan memerlukan para pengguna memasukkan kata laluan dan nama pengguna secara manual.

Menurut pihak pembangun Zygy, mereka akan memfokuskan beberapa universiti terlebih dahulu sepanjang tahun ini, membolehkan perkhidmatan Zygy digunakan sebagai pusat rujukan setempat untuk aktiviti kampus mereka, dan juga perkhidmatan internet yang lain.

Bagi sesiapa yang berminat, mungkin anda boleh mendaftarkan diri anda kepada Zygy Beta hari ini. Namun pengesahan mungkin mengambil masa sehingga 72 jam sebelum ianya disahkan.


TIPS & ULASAN