Mozilla Bakal Memperkenalkan Firefox Dengan Antaramuka Metro

Mozilla Bakal Memperkenalkan Firefox Dengan Antaramuka Metro

Diterbitkan pada Feb 14, 2012 oleh .

Dengan Windows 8 yang memfokuskan kepada antaramuka Metro, beberapa aplikasi memfokuskan kepada mengoptimasikan antaramuka mereka untuk sistem operasi generasi akan datang daripada Microsoft itu, dan salah satunya adalah Mozilla, yang memfokuskan membangunkan Firefox versi Metro.

Rekabentuk konsep pertama dijangka akan diperkenalkan pada bulan ini, yang mana akan memfokuskan kepada interaksi berasaskan sentuhan, serta diintegrasi bersama-sama beberapa perkara lain pada Windows 8, menjadikannya beroperasi lebih kurang sama seperti Internet Explorer 10 yang bakal didatangkan bersama-sama Windows 8.

Selain daripada versi Metro, Mozilla juga dijangka akan turut memperkenalkan versi biasa mereka, membolehkan para pengguna desktop menggunakan pelayar web tersebut tanpa sebarang masalah.

Pihak Mozilla sendiri, pada masa yang sama sedang memfokuskan kepada memperkenalkan antaramuka pelayar web yang baru, berkemungkinan pada Firefox 12 atau 13 kelak. Dan untuk versi Metro ini, mungkin kita akan melihatnya dilancarkan bersama-sama dengan Windows 8 Consumer Preview pada 29 Februari kelak.


TIPS & ULASAN