Beberapa Info Awal Berkenaan Windows Phone Tango Mula Kelihatan

Beberapa Info Awal Berkenaan Windows Phone Tango Mula Kelihatan

Diterbitkan pada Feb 16, 2012 oleh .

Dengan Windows Phone Mango yang telah pun dilancarkan pada tahun lepas, kini para pengikut berita Windows Phone, semestinya menantikan kepada kemaskini Tango dan juga Apollo. Untuk makluman, Tango disasarkan untuk peranti dengan spesifikasi rendah, dan ia disasarkan untuk diperlihatkan kepada umum pada MWC penghujung bulan ini.

Maklumat rasmi berkaitan dengannya masih tidak diketahui buat masa ini. Namun begitu, beberapa info berkaitan dengan Windows Phone Tango sudah pun mula kelihatan pada arena web hari ini.

Melaluinya, ia kelihatan yang mana Windows Phone Tango disasarkan dengan peranti spesifikasi rendah, membolehkan peranti Windows Phone berharga lebih murah dihasilkan. Walaubagaimanapun, seperti biasa, ia juga akan didatangkan dengan beberapa kekangan, dimana beberapa aplikasi yang memerlukan memori atau kuasa operasi tinggi tidak dapat dipasang. Perkara ini dinyatakan melalui Marketplace untuk para pengguna yang ingin memasang sesuatu aplikasi itu.

Pada masa yang sama, Tango juga diperkatakan akan membawakan sokongan MMS yang lebih baik, membolehkan para pengguna menyertakan lebih daripada satu fail bersama-sama dengannya. Tango juga turut akan menyertakan sokongan untuk mengeksport buku alamat ke SIM, serta menyertakan sokongan rakaman suara untuk dihantar bersama-sama dengan MMS.

Mungkin kita akan dapat mendengar beberapa maklumat lanjut berkenaan dengan Tango ini pada acara MWC pada penghujung bulan ini kelak.


TIPS & ULASAN