13 Startup Memperlihatkan Produk Mereka Pada Develop Launchpad Di Minggu Media Sosial 2012

13 Startup Memperlihatkan Produk Mereka Pada Develop Launchpad Di Minggu Media Sosial 2012

Diterbitkan pada Feb 16, 2012 oleh .

Minggu Media Sosial 2012 kini telah pun menghampiri penghujungnya, dimana salah satu aktiviti yang telah diadakan adalah Develop Launchpad yang memperlihatkan lebih daripada 13 startup tempatan bersaing dan pada masa yang sama melancarkan produk mereka pada minggu ini kepada umum. Bagi yang tertanya-tanya mengenai 13 syarikat tempatan yang mempersembahkan produk mereka, berikut merupakan senarai penuhnya:

AtticTV

AtticTV merupakan salah satu perkhidmatan yang pernah kami buat liputan sebelum ini, dimana melaluinya ia membolehkan para pengguna menonton video muzik bersama-sama dengan lain mengikut kategori muzik dan sebagainya, terus daripada laman-laman penyedia hos video, seperti YouTube.

CivicTicket

Melalui CivicTicket, ia membolehkan para pengguna internet melaporkan isu-isu berkaitan sivik dengan pantas, dan pada masa yang sama mendapatkan maklumbalas daripada pengguna yang lain dalam masa-nyata. Ia bakal didatangkan dalam bentuk aplikasi untuk Android dan iOS untuk menjadikan menghantar laporan lebih mudah.

CloudStat

CloudStat adalah salah satu aplikasi berasaskan web yang membolehkan para pengguna membangunkan aplikasi statistik dan berkaitan penganalisaan data serta menyertakan sokongan kolaborasi melalui awan bersama yang lain.

Evenesis

Evenesis merupakan salah satu produk yang memfokuskan kepada pengurusan acara untuk mereka-mereka yang mengadakan acara mahupun perancang sesuatu program, dalam memudahkan pengurusan mereka, disamping mendapatkan info dalam bentuk masa-nyata ketika acara tersebut sedang berlangsung.

My Medic Online

My Medic Online menyediakan halaman profil kepada para doktor, dimana melaluinya membolehkan para pesakit ataupun mereka yang ingin mendapatkan khidmat seseorang doktor itu mengetahui lebih lanjut berkenaan seseorang sebelum mendapatkan maklumat perubatan daripada mereka.

Netizen Testing

Netizen Testing menghubungkan para pembangun web bersama-sama dengan pengguna, dimana membolehkan para pembangun web atau aplikasi mendapatkan maklumbalas terus daripada pengguna, sekaligus membolehkan mereka mengoptimasikan web dan aplikasi mereka dengan lebih lanjut lagi.

Octopost

Kekurangan idea untuk berkongsi perkara bersama dengan lain melalui Facebook Pages anda? Octopost cuba mengatasi masalah ini, dengan menyediakan pelbagai pilihan kandungan dari pelbagai kategori, membolehkan anda menetapkan apa yang anda ingin kongsikan dan sebagainya bersama lain melalui halaman Facebook anda.

OunchTag

OunchTag memudahkan perkongsian sesuatu iklan bersama yang lain melalui pelbagai medium, sekaligus menyediakan data-data berkaitan dengan apa yang penting untuk pengiklan.

Piktochart

Piktochart merupakan salah satu aplikasi berasaskan web yang membolehkan para pengguna membangunkan infografik dengan mudah. Piktochart sendiri pernah membantu kami menghasilkan sebuah infografik sebelum ini, yang kelihatan amat menarik sekali.

SecQ.me

Salah satu aplikasi yang memfokuskan kepada keselamatan adalah SecQ.me. Melaluinya, ia menyediakan anda dengan pelindung maya, dimana anda boleh melaporkan seperti menaiki kenderaan apa, melalui jalan mana dan sebagainya. Ia juga dilengkapi dengan sokongan GPS membolehkan rakan anda mengetahui lokasi terakhir anda sekiranya anda hilang atau memerlukan bantuan.

TaxiMonger

Dahulunya dikenali sebagai Taxi Watch, kini Taxi Monger membolehkan para pengguna berkongsi info mengenai sesuatu teksi melalui angka nombor plat kenderaan mereka, seperti salah laku kenderaan tersebut dan sebagainya. Pada masa yang sama, sokongan tempahan juga dijangka akan diperkenalkan padanya tidak lama lagi.

VoucHEREs

Pemenang kepada program Make The Pitch sebelum ini, VoucHEREs membolehkan anda menikmati diskaun berasaskan lokasi dengan mudah. Buat masa ini, ia hanya menyokong pusat membeli-belah MidValley Megamall, dan dijangka akan diperluaskan kepada yang lain secara berperingkat pada tahun ini.

Zygy

Zygy merupakan salah satu aplikasi tempatan yang ingin menjadi halaman utama anda di internet, membolehkan anda mengikuti pelbagai kemaskini, seperti emel, Twitter, Facebook dan sebagainya terus melalui satu halaman.


TIPS & ULASAN