Cari @ Amanz

Setelah memperkenalkan OS X Lion pada tahun lepas, kini Apple bergerak pantas dalam membangunkan sistem operasi generasi baru mereka, dimana hari ini, Apple telah pun memperkenalkan OS X Mountain Lion untuk para pembangun, dan bakal diperkenalkan kepada semua pengguna seluruh dunia dalam masa beberapa bulan lagi dari hari ini.

Jadi, mungkin ramai tertanya, apakah perkara baru yang didatangkan bersama-sama dengan OS X 10.8 Mountain Lion ini. Salah satu perkara yang diketahui adalah integrasi lebih menyeluruh dengan iCloud, membolehkan para pengguna mengakses fail dan dokumen melalui iCloud pada peranti berbeza, termasuk pada iOS. Para pengguna juga turut boleh melihat kemaskini masa-nyata dokumen mereka pada iCloud dengan menggunakan Finder, selain melihat kemaskini langsung terus pada peranti iOS ketika sedang melakukan perubahan.

Pada masa yang sama, jikalau pada iOS ada iMessage, kini pada OS X Mountain Lion, Apple mengantikan iChat dengan aplikasi baru, membolehkan anda melihat pelbagai mesej anda pada satu aplikasi dengan mudah, termasuk mesej daripada iMessage. Ia juga turut membolehkan anda menghantar dan menerima teks bersama pengguna iOS, selain melakukan panggilan video melalui sokongan FaceTime.

Lagi satu fungsi sama yang terdapat pada iOS 5 yang didatangkan pada Mountain Lion adalah sokongan Reminders. Kini, para pengguna OS X turut sama boleh menambah pelbagai tugas yang perlu dilakukan, dan melalui sokongan iCloud, ia membolehkan anda melihat perkara sama antara OS X dan juga peranti iOS anda.

Sokongan notifikasi turut didatangkan, membolehkan anda mengikuti pelbagai kemaskini dalam masa-nyata pada bahagian kanan skrin anda. Ia juga didatangkan dengan API khas, membolehkan para pembangun membangunkan aplikasi dengan sokongan notifikasi pada OS X Mountain Lion.

Dari segi perkongsian, sama seperti pada iOS 5, OS X Mountain Lion turut hadir dengan sokongan Twitter, membolehkan anda berkongsi sesuatu pautan ataupun halaman web serta-merta tanpa perlu menggunakan butang pada halaman web tersebut, ataupun perlu melalui proses sukar seperti sebelumnya.

Beberapa kemaskini kecil, termasuk Safari yang didatangkan dengan bar yang boleh melakukan carian dan menaip URL pada kotak sama (sama seperti Chrome), aplikasi Calendar yang dikemaskini, sokongan AirPlay Mirroring, sokongan Game Center, dan beberapa perkara lain lagi.

Mungkin jika berpeluang menguji sistem operasi terbaru ini yang masih dalam fasa pembangunan, kami akan membawakan kemaskini secara berperingkat selepas ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd