Gambaran Nokia Lumia 805 Menyerupai Nokia X7 Mula Kelihatan

Gambaran Nokia Lumia 805 Menyerupai Nokia X7 Mula Kelihatan

Diterbitkan pada Feb 18, 2012 oleh .

Dengan Mobile World Congress 2012 yang hanya tinggal lebih kurang seminggu lagi, lebih banyak ura-ura dan juga informasi berkaitan dengan peranti-peranti baru yang bakal dilancarkan pada acara tersebut mula kedengaran. Salah satunya adalah berkaitan dengan peranti Windows Phone terbaru daripada Nokia, iaitu Nokia Lumia 805.

Sebelum ini, ia telah diperkatakan Nokia akan melancarkan Nokia Lumia 610 bersama-sama dengan Windows Phone Tango, dan kini ia turut diperkatakan Nokia mungkin akan melancarkan Nokia Lumia 805 pada masa tersebut.

Walaubagaimanapun, seperti biasa, perkara ini tidak diketahui kesahihannya. Daripada rekabentuk yang diperlihatkan, ia kelihatan seumpama Nokia X7, dengan beberapa perubahan padanya. Ia turut diperkatakan akan membawakan kamera 12-megapixel Carl Zeiss, skrin seluas 3.9-inci WVGA ClearBlack, dan didatangkan bersama-sama dengan 16GB memori terbina.

Jadi, adakah perkara ini atau tidak? Sama-sama kita nantikannya pada MWC 2012 yang bermula pada 27 Februari kelak.


TIPS & ULASAN