Selain daripada Google yang diperkatakan sedang giat dalam persiapan untuk pelancaran Google Drive, Microsoft juga tidak ingin ketinggalan dalam menambah-baik tawaran mereka. Beberapa info kini kelihatan, memperlihatkan perancangan pihak Microsoft untuk perkhidmatan storan awan mereka, SkyDrive, termasuk klien untuk Windows dan Mac, serta sokongan pakej berbayar untuknya.
Dengan adanya klien khas untuk platform deskop, ia semestinya akan menarik minat para pengguna untuk menggunakannya. Buat masa ini, perkhidmatan seumpamanya ditawarkan oleh Dropbox, dan mungkin dengan adanya SkyDrive, ia akan memberikan persaingan sihat untuk Dropbox.
Melalui SkyDrive juga, Microsoft menawarkan sehingga 25GB secara percuma, yang turut diintegrasikan bersama Hotmail dan lain-lain. Bagi mereka yang tidak mencukupi ruangan storan yang disediakan, nampaknya, Microsoft bakal kelak membolehkan anda menambah ruangan, sehingga 100GB pada harga yang amat murah dan berpatutan.
Nampaknya, dengan SkyDrive memulakan langkah awal, adakah kita akan melihat tawaran yang lebih baik daripada pihak Google kelak?