GMail SMS telah pun mula menyokong pengguna tempatan sejak daripada tahun lepas melalui rangkaian DiGi. Dan nampaknya, Maxis turut sama tidak ketinggalan, dimana kini ia turut kelihatan telah menyokong salah satu fungsi menarik daripada Google ini. Namun kami tidak dapat mengesahkan sejak bilakah ianya disokong secara rasmi oleh pihak Maxis.
Beberapa carian mendapati ia telah disokong sejak awal bulan ini. Walaubagaimanapun, kami masih gagal menemui halaman rasmi berkaitan dengan GMail SMS pada laman rasmi Maxis.
Untuk pengetahuan, melalui GMail SMS, ia membolehkan para pengguna GMail menghantar SMS percuma kepada rakan-rakan mereka tanpa sebarang kos. Walaubagaimanapun, bagi para pengguna yang membalas SMS tersebut melalui telefon mereka, akan dikenakan caj mengikut apa yang ditetapkan oleh penyedia telekomunikasi masing-masing.
Ianya merupakan salah satu fungsi yang penting bagi anda yang sentiasa atas-talian dan terpaksa ke lokasi yang sukar untuk mendapat talian internet, disamping membolehkan rakan-rakan anda menghubungi anda bila-bila masa tanpa sebarang kos.
DiGi mula memperkenalkan sokongan ini pada pertengahan November lepas, dan kini dengan Maxis turut sama menawarkannya, mungkin kita akan turut sama melihat syarikat telekomunikasi yang lain melakukan perkara yang sama dalam tempoh terdekat ini.
Tips awal daripada Omar.