Ulasan: Fedora 16 – ‘Syurga’ Bagi Pencinta GNOME

Ulasan: Fedora 16 – ‘Syurga’ Bagi Pencinta GNOME

Diterbitkan pada Feb 21, 2012 oleh .

Milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi. Begitu juga dengan salah sebuah distro Linux, Fedora yang dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna. Fedora 16 melangkah dengan seribu kekuatan dengan kehadiran GNOME 3, sesuatu yang baru dan seringkali menjadi salah satu pilihan desktop shell utama dalam komuniti Linux.

Saban hari, salah satu distro Linux pilihan paling popular pada masa ini iaitu Ubuntu, telah mendominasi kebanyakan berita di rubrik-rubrik blog Linux. Akan tetapi, alternatif lain selain daripada menggunakan Ubuntu, satu lagi pilihan distro yang menjadi pilihan ialah Fedora, sesuatu yang percuma yang dibangunkan oleh Red Hat buat sekian lama.
Ini merupakan ulasan Fedora 16, dalam versi 32-bit yang mana menggunakan GNOME 3.2.

Perkakasan komputer yang digunakan penulis adalah sebuah netbook keluaran 2009 berjenama Asus yang dikuasakan oleh Intel Atom N270 serta RAM 2GB. Bagi yang kurang mengenali apa itu Fedora, Fedora merupakan salah satu sistem operasi di bawah lembayung Linux. Seperti Windows, sistem operasi ini membolehkan komputer anda dapat digunakan untuk penggunaan seharian. Justeru, pada ulasan kali ini, penulis akan menerangkan beberapa fungsi serta perubahan pada Fedora 16.

Fedora 16 Boot Screen

Kemas dan minimalis. Itulah pandangan pertama penulis apabila Fedora 16 memulakan proses pengebootan. Kesan animasi yang dipaparkan sangat menarik dan jelas memikat kejelitaan sistem operasi Fedora 16 ini. Pada permulaan proses, satu animasi muncul kelihatan seolah-olah membentuk logo Fedora. Dalam beberapa ketika sahaja, proses pengebootan berakhir dengan animasi logo Fedora yang telah siap dibentuk yang membawa makna Fedora 16 sedia untuk dijalankan. Sungguh cantik di mata, dekat di hati pengguna.

Paparan Fedora 16 Logon dan Welcome Screen

Cantiknya boot screen Fedora 16 ini juga sama keayuannya seperti logon dan welcome screen sistem operasi ini. Pengguna dihidangkan dengan paparan yang elegan sebelum melangkah masuk ke dalam sistem operasi.

GNOME 3

GNOME 3 menjadi cerucuk utama pembangunan shell dalam Fedora 16 ini. Dilancarkan pada 16 November yang lalu, Fedora 16 menarik minat ramai pengguna Linux terutamanya dari kalangan pengguna Ubuntu. Perkara sedemikian berlaku ekoran shell Unity yang telah diimplementasikan sepenuhnya dalam distro tersebut dikatakan kurang gah tidak seperti GNOME. Ini telah membenamkan segala kepuasan dan pengalaman pengguna dalam Ubuntu. Perkara ini dapat penulis simpulkan, kehadiran Unity dalam Ubuntu sedikit sebanyak telah menyebabkan imej dan reputasi sistem operasi itu tercalar.

Rentetan senario itu, pembangun Fedora 16 bijak mengatur strategi untuk menyambut kembali gamitan reputasi sistem operasi tersebut dengan mengekalkan GNOME 3 sebagai shell utama. GNOME 3 lebih cenderung kepada mesra pengguna dan antara mukanya menjadikan mata seolah-olah diulit pemanis untuk dijamah.

GNOME 3 mempunyai paparan tarikh dan masa berserta kalendar pada bahagian tengah top bar. Apa yang membuatkan penulis teruja, paparan kalendar yang terkeluar selepas menekan klik pada tarikh dan masa itu memaparkan senarai tugasan pengguna yang akan dilakukan pada hari ini dan esok. Sementara itu, pada bahagian kanan top bar pula, pengguna disajikan dengan accessibility tool, volume control, network manager dan power tool. Seperti mana yang kelihatan dalam Ubuntu, pada bahagian kanan top bar juga terletaknya ruangan pengguna yang mana pengguna boleh mengakses system setting, akaun pengguna, membuat penukaran pengguna, log out, suspend serta butang untuk turn off komputer pengguna.

GNOME 3 mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu dalam pengurusan aplikasi. Mudah, cepat, dan pantas menjadi elemen utama apabila pengguna menyulusuri ruangan Activities yang terletak di sebelah kiri tob bar. Klik yang dibuat pada bahagian tersebut membawa pengguna ke satu ruangan yang terletaknya application launcher serta background application yang sedang berjalan. Background application dipaparkan secara thumbnail dan apa yang menariknya, fungsi tersebut juga menyokong live preview seperti mana yang didapati dalam Windows 7.

Seperti juga Windows, Fedora 16 masih lagi mengekalkan tahap mesra pengguna PC dengan mengekalkan notification pengeluaran pemacu seperti pendrive di sebelah kanan bawah skrin. Notification yang dipaparkan sangat kemas dan mudah untuk diuruskan. Apabila pengguna memasukkan DVD, CD lagu mahupun portable hard disk, pengguna akan mendapati satu notification muncul di bahagian tengah bawah skrin. Notification itu memberikan pengguna pilihan sama ada untuk membuka file manager atau mengeluarkan kembali portable drive tersebut.

Jelas sekali, kesan animasi dan paparan antara muka yang telah ditonjolkan dalam GNOME 3 pasti menggamit keinginan pengguna untuk terus memasang Fedora 16 tanpa was-was. Penulis yang merupakan pengguna Windows juga terasa goyah tahap kesetiaan pada sistem operasi dari Redmond itu apabila menggunakan Fedora 16.

Walau bagaimanapun, penulis amat kurang menggemari dengan pengurusan window yang telah diimplemenkan pada GNOME 3. Pada penjuru di bahagian kanan atas sesebuah window, hanya satu pilihan sahaja yang diberikan iaitu butang close. Penulis terpaksa menggunakan kaedah right klik di title bar untuk minimize window tersebut. Perkara ini sangat jelek sekali dan sangat menyukarkan pengguna untuk pergi ke aplikasi lain.

Kemelut yang dihadapi oleh GNOME 3 itu tidak dibiarkan sahaja oleh pihak pembangun Fedora. Mereka membuktikan sensitiviti dan kepekaan serta keprihatinan mereka dengan menyediakan satu fungsi khas yang mana membolehkan pengguna untuk ‘downgrade’ antara muka GNOME 3 kepada antara muka ala-ala GNOME 2. Fungsi fallback mode membawa pengguna ke antara muka yang lebih ringkas tanpa sebarang paparan grafik yang membebankan. Untuk pengetahuan umum, fungsi ini juga diaktifkan secara automatik apabila tiada kad grafik yang menyokong GNOME 3 dikenalpasti.

Aplikasi

Melangkah dengan seribu kekuatan, Mozilla Firefox versi 7.0 memegang watak sebagai pelayar web utama dalam Fedora 16 ini. Kreditibiliti Mozilla Firefox sebagai pelayar web pintar telah menarik minat pembangun Fedora 16 untuk menggunakan Firefox berbanding saingannya, Google Chrome. Mozilla Firefox kelihatan lebih gagah dalam membawa watak sebagai pelayar web kerana fungsinya yang lengkap dan mudah untuk digunakan oleh semua pengguna. Menurut perangkaan statistik daripada beberapa sumber, Mozilla Firefox mencatatkan serangan malware paling rendah di antara kesemua pelayar web yang ada setakat ini. Tidak hairanlah ‘serigala berapi’ ini menakluki takhta sebagai pelayar web paling selamat di dunia.

Bagi yang gemarkan fungsi chat, pengguna tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasang aplikasi tambahan seperti Yahoo Messenger kerana Fedora 16 dibekalkan dengan aplikasi Empathy yang sangat mudah untuk digunakan. Pengguna hanya perlu menjalani beberapa proses sahaja sebelum melangkah masuk ke dunia sosial tanpa sempadan. Apa yang menarik lagi, Empathy juga menyokong panggilan video yang semakin meluas digunakan pada hari ini.

Rhythmbox pula menjadi watak pilihan sebagai aplikasi pemain muzik utama dalam Fedora 16. Antara muka yang mudah digunakan membolehkan pengguna menyusun atur lagu kesukaan mereka tanpa proses yang merumitkan. Watak pemain video dipegang seterusnya oleh Totem Movie Player. Sebuah pemain video yang ringkas dengan kawalan yang mudah digunakan. Namun begitu, aplikasi-aplikasi media ini masih lagi memerlukan codec untuk dimuat turun. Codec sangat diperlukan apabila ingin memainkan sesuatu file media. Pada pandangan penulis, ini sangat melecehkan pengguna.

Apa yang mengecewakan, penulis mendapati Fedora 16 tidak disertakan dengan aplikasi office suite. Sebagai sistem operasi Linux, aplikasi office suite sumber terbuka perlu disertakan agar pengguna tidak perlu menjalani proses yang merumitkan untuk memasang Microsoft Office. Jika dilihat pada Ubuntu, aplikasi office suite OpenOffice telah diimplemenkan sekali. Adakalanya jika difikirkan kembali mungkin pihak pembangun Fedora ingin mengurangkan saiz memori installer Fedora 16.

Selain daripada aplikasi yang tersenarai di atas, beberapa aplikasi menarik seperti Shotwell, Cheese, dan Evolution juga disertakan dalam sistem operasi ini.

Stabiliti

Penulis merasakan Fedora 16 cukup stabil dan sangat sesuai untuk penggunaan seharian. Peranti yang penulis gunakan hanya sebuah netbook lama sekitar tahun pengeluaran pada tahun 2009. Fedora 16 berjaya menarik hati penulis apabila sistem operasi ini beraksi dengan lancarnya. Ketika penulis menggunakan Fedora, tidak pernah lagi penulis mengalami ‘hang’ dan masalah tersekat-sekat ketika scroll sesuatu ke atas dan ke bawah. Tidak seperti Windows, kadangkala penulis mengalami masalah ‘hang’ untuk beberapa ketika.

Memandangkan Fedora ialah sistem operasi Linux, Fedora merupakan sistem operasi bebas daripada virus. Bermakna, pengguna tidak perlu untuk membeli atau melanggan antivirus untuk melindungi PC pengguna daripada serangan virus dan malware yang berbahaya.

Perkara Di Belakang Tabir

Fedora 16 telah diperhebatkan dengan kernel Linux 3.1. Perubahan lain yang dapat dilihat adalah penukaran daripada GRUB Legacy kepada GRUB2 sebagai default boot loader kerana GRUB Legacy tidak dapat diseimbangkan penggunaannya lagi. Selain itu, tetapan default klien NTP (Network Time Protocol) kini ialah Chrony, yang mana Chrony direka khas agar dapat menjalankan tugasan dengan lancar tanpa sambungan network yang kekal. Chrony juga mempunyai memori footprint yang kecil dan menjimatkan penggunaan tenaga dengan mengehadkan beberapa proses pada wakeup. Tambahan lagi, HAL, yang membawa makna hardware abstraction layer telah dibuang daripada Fedora kerana aplikasi tersebut telah dipindahkan penggunaannya kepada Udisk, Upower dan libudev untuk device discovery.

Sementara ada di antara kita di luar sana menukilkan kata-kata tentang Btrfs filesystem, Fedora 16 masih lagi menggunakan Ext4 sebagai file system utama. Ya, pengguna boleh menggunakan Btrfs jika pengguna benar-benar mahu menggunakannya dengan memilih secara manual dalam langkah ketika partitioning pada proses pemasangan Fedora 16. Dari pemikiran penulis, kedudukan Fedora 16 ketika ini berada di tengah-tengah migrasi pergerakan. Fedora 15 telah memperkenalkan sistem systemd yang baru serta service manager. Dapat penulis jelaskan pergerakan migrasi ini hanyalah satu permulaan. Dalam Fedora 16, banyak services telah ditukarkan kepada service systemd yang native seperti MySQL dan PostgreSQL dengan hasil masa pengebootan yang pantas. Namun begitu, sebuah sistem systemd yang benar-benar siap sepenuhnya bakal diperkenalkan pada Fedora 17 kelak.

Kesimpulan

Fedora 16 sememangnya salah sebuah sistem operasi Linux yang tidak boleh dipandang enteng sama sekali. Fungsi yang digarapkan pada sistem operasi ini mempunyai kekuatan yang istimewa. Mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini, Fedora masih lagi mengekalkan stabiliti sistem operasi itu dengan mengehadkan beberapa kegagalan sistem. Tidak hairanlah Fedora kini berada di tangga ke-tiga, di belakang Ubuntu dan LinuxMint sebagai distro Linux paling popular di dunia.

Pembangun Fedora juga telah berjaya membangunkan sistem operasi Linux yang berketerampilan dengan kehadiran GNOME 3, menampilkan wajah baru yang disulami tekad. GNOME 3 menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang penulis menggunakan sistem operasi ini untuk beberapa ketika. Manisan grafik antara muka GNOME 3 yang digunakan dalam Fedora 16 enak sekali dijamah oleh retina mata penulis.

Walaupun begitu, setiap perkara ciptaan manusia di dunia hari ini pasti ada kelemahan tersendiri. Pembangun Fedora masih mempunyai masa untuk mempertingkat dan memperteguh tahap mesra pengguna agar Fedora dapat membina impian masa depan yang lebih gemilang.

Kelemahan yang dihadapi perlu dirawat dengan ubat yang sepatutnya agar tidak meruncingkan lagi keadaan. Aplikasi office sepatutnya diintegrasikan bersama dengan sistem operasi ini seperti mana sistem operasi Linux yang lain. Selain itu, Fedora juga perlu mempunyai application market yang tersendiri untuk memudahkan pengguna memuat turun aplikasi baru mengikut citarasa pengguna itu sendiri.

Pandangan pro dan kontra yang dipaparkan hanyalah sekadar pendapat penulis sepanjang menggunakan sistem operasi ini. Pandangan sarwa penulis ini mempraktikkan elemen tolak ansur agar tidak menyebelahi mana-mana sistem operasi. Penulis juga menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak agar bersama-sama menyokong pembangunan Fedora ini ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni agar Fedora juga dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan sistem operasi Linux yang lain.

Nukilan Arib Ismail untuk Amanz.


TIPS & ULASAN