Setelah dua aplikasi sebelum ini, hari ini, pihak AppsMalaysia yang menerima dana melalui program Dana Belia 1Malaysia telah pun mengeluarkan aplikasi mereka yang ketiga, iaitu Match It Right. Berbeza dengan aplikasi-aplikasi sebelum ini, kali ini AppsMalaysia melancarkan aplikasi mereka untuk platform iOS dan juga Android.
Dan seperti sebelum ini, antaramuka aplikasi tidak diperlihatkan sepenuhnya, dan aplikasi tersebut ditawarkan pada harga $2.99. Melalui halaman jualan mereka, AppsMalaysia menyatakan yang mana melalui aplikasi tersebut, ia menawarkan para pengguna (memfokuskan kanak-kanak) untuk mempelajari huruf-huruf dan cara sebutannya terus daripada aplikasi tersebut.
Walaubagaimanapun, kami tidak mengetahui mengapakah AppsMalaysia menawarkannya melalui Amazon AppStore dan bukannya melalui Android Market, memandangkan Amazon AppStore masih lagi tidak dibuka aksesnya kepada para pengguna tempatan. Apatah lagi, kami percaya, Dana Belia 1Malaysia diberikan untuk memfokuskan pasaran Malaysia, dan bukannya pasaran antarabangsa. Namun begitu, kami percaya, mungkin pihak AppsMalaysia mempunyai rasional mereka tersendiri untuk perkara ini.