Pada peranti dengan skrin sentuh, ia agak sukar untuk anda membuat carian ketika melayari sesuatu halaman, dimana perlu menyalin-dan-tampal sesuatu kata kunci itu terlebih dahulu pada kotak carian, sebelum dapat membuat carian berkenaannya. Untuk mengatasi perkara ini, kini Google hadir dengan paten baru melalui sokongan gerak isyarat.
Melalui beberapa gambaran yang diperlihatkan oleh PatentlyApple, gerak-isyarat tersebut menggunakan huruf “g”, dimana para pengguna hanya perlu menandakan kata kunci yang mereka inginkan dengan gerak isyarat berbentuk “g” dalam bentuk bulatan, dan carian akan dilakukan secara automatik.
Beberapa huruf tambahan juga akan diperkenalkan oleh Google sebagai alternatif lain. Walaupun Google telah memfailkan hak cipta dan paten untuk menggunakannya, ia masih tidak diketahui bilakah ia akan diperkenalkan dan diintegrasikan pada Android. Mungkinkah melalui Jelly Bean kelak?