24434.my Dilancarkan Dalam Bentuk Beta – Mensasarkan Untuk Menjadi Pusat Komuniti

24434.my Dilancarkan Dalam Bentuk Beta – Mensasarkan Untuk Menjadi Pusat Komuniti

Diterbitkan pada Feb 26, 2012 oleh .

Beberapa bulan yang lalu, kami ada menulis mengenai perkhidmatan seumpama FourSquare yang memfokuskan pengguna beragama Islam bakal dilancarkan. Dan akhirnya, pada hari ini, pembangunnya telah pun melancarkan perkhidmatan tersebut dibawah nama 24434.my, dan boleh diakses oleh semua pengguna samada melalui desktop mahupun melalui peranti mudah alih mereka.

Menurut pembangunnya, 24434.my bukan sahaja menawarkan beberapa lencana, tetapi berhasrat untuk menjadi salah satu pusat komuniti untuk pengguna beragama Islam. Pada masa hadapan, pelbagai perkara bakal diintegrasikan padanya, termasuk kalendar aktiviti sesuatu masjid, sekaligus memudahkan para pengguna merujuk padanya untuk mengetahui pelbagai informasi berkaitan masjid-masjid berdekatan mereka.

Buat masa ini, sebanyak lebih daripada 50 masjid, surau dan madrasah telah disenaraikan. Dan memandangkan ia turut membolehkan para pengguna menghantar dan memuat-naik mengenai masjid, surau mahupun madrasah berdekatan mereka, maka angka ini berkemungkinan akan meningkat dalam masa terdekat ini.

Menariknya mengenai setiap lokasi yang disenaraikan adalah dimana, selain daripada peta lokasi, ia turut menyertakan beberapa maklumat berkenaan sesuatu masjid, seperti bagaimana ingin menghubungi jawatankuasa masjid, surau, dan madrasah terbabit, serta kemudahan asas yang terdapat berdekatan dan juga didalam lokasi tersebut. Para pengguna juga boleh meninggalkan komen pada sesuatu lokasi tersebut, untuk memberikan informasi berguna kepada pengguna yang lain.

Buat masa ini, ia masih lagi pada peringkat beta,dan mempunyai beberapa kekurangan. Cara untuk mendapatkan lencana adalah dengan ‘Check-in’ di lokasi masjid yang tersedia. Pada masa yang sama, ujian kami menggunakan peranti mudah-alih juga seperti kurang menarik, memandangkan integrasi peta Google pada 24434.my tidak menyertakan sokongan drag dan juga zoom dengan menggunakan jari padanya, tetapi sebaliknya perlu menekan butang khas. Namun, mungkin ianya masih lagi pada peringkat awal, dan perlu melalui pelbagai fasa lagi sebelum versi stabilnya menjelang tiba.

24434.my dalam bentuk beta ini dilancarkan dalam bahasa Inggeris, dan sokongan bahasa Malaysia dijangka akan diperkenalkan dalam masa beberapa hari lagi. Mungkin lebih banyak fungsi turut disusun oleh pembangunnya dalam masa akan datang.

Penafian : Ikhwan Nazri (@tekong), merupakan salah seorang pembangun aplikasi 24434.my


TIPS & ULASAN