Pandang Pertama : Nokia Lumia 800 Bersama Windows Phone Mango

Pandang Pertama : Nokia Lumia 800 Bersama Windows Phone Mango

Diterbitkan pada Mac 1, 2012 oleh .

Windows Phone merupakan salah satu platform mudah-alih yang masih lagi baru di Malaysia, dan masih belum mendapat pendedahan penuh dikalangan pengguna tempatan. Ini mungkin kerana Microsoft mengambil masa yang agak lama untuk memperkenalkan Windows Phone Marketplace, sekaligus menjadikan sokongannya agak terhad di rantau ini.

Namun, dengan pengenalan Nokia Lumia, Microsoft turut sama membawakan sokongan Marketplace untuk pengguna tempatan, dan membolehkan pelbagai fungsi pada Windows Phone digunakan secara penuh oleh para pengguna tempatan.

Berbalik kepada topik asal, berkenaan dengan Nokia Lumia 800 dan juga Nokia Lumia 710. Kedua-duanya adalah peranti terbaru daripada Nokia yang menggunakan Windows Phone, dan telah dilancarkan di Malaysia pada bulan lepas. Nokia Lumia 800 membawakan tanda harga RM1650 manakala Nokia Lumia 710 berharga RM999 dipasaran. Kedua-duanya boleh didapati pada harga yang lebih murah dengan melanggan kepada pakej-pakej yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi tempatan.


Dari Kiri : Nokia N9, Nokia Lumia 800, Nokia Lumia 710

Secara ringkas, Nokia Lumia 800 membawakan rekabentuk yang amat menarik, sedap dipegang dan digunakan. Butang ke menu, carian juga sangat responsif, dan mudah untuk kembali ke sebelumnya, tanpa sebarang masalah. Berbeza pula untuk Nokia 710, dimana butangnya, membawakan butang biasa, yang perlu ditekan (dan agak keras ketika mula-mula menggunakannya), dan bukannya peka sentuhan seperti terdapat pada Nokia Lumia 800. Tetapi, perkara ini adalah sesuatu kebiasaan, dan menggunakan konsep, anda dapat untuk apa yang anda bayar.

Kelebihan Nokia Lumia

  • Disertakan bersama Nokia Drive, salah satu sokongan pemetaan dan navigasi terbaik di pasaran.
  • Disertakan beberapa aplikasi tambahan yang memfokuskan kepada pengguna Windows Phone, berbeza berbanding pengeluar peranti Windows Phone yang lain.
  • Skrin yang jelas, sesuai untuk paparan HD untuk video mahupun permainan.
  • Windows Phone yang dioptimasikan untuk Nokia Lumia, tidak mengalami sebarang gangguan ketika digunakan, dan segalanya bergerak dan beroperasi secara lancar.

Kekurangan Nokia Lumia

  • Tiada slot untuk kad memori dan ruangan storan terbina yang kecil.
  • Tiada kamera hadapan untuk panggilan video.
  • Aplikasi Windows Phone yang dibangunkan pembangun tempatan yang masih kurang. Tetapi ia bertambah dari hari ke hari.
  • Menggunakan mikro-SIM, memerlukan para pengguna mengubahnya di syarikat telekomunikasi masing-masing.


Dari Kiri : Symbian, MeeGo, Windows Phone.

Kami sendiri masih tidak mengujinya secara penuh, dan ulasan ini adalah secara ringkas, berdasarkan penggunaan kami selama kurang 30 minit. Kami akan cuba mengeluarkan ulasan penuh untuk Nokia Lumia 800 ini dalam masa terdekat.


Salah satu fungsi menarik pada Windows Phone (Nokia Lumia), dimana anda boleh merakamkan gambar dokumen menggunakan kamera, dan seterusnya menggunakan sokongan terjemahan ke bahasa pilihan anda. Namun, sokongan bahasa Malaysia masih tiada lagi padanya.

Jadi, sementara itu, adakah Nokia akan kembali gah di dunia telefon pintar melalui keluarga Nokia Lumia?

TIPS & ULASAN