Ulasan: Windows 8 Consumer Preview

Ulasan: Windows 8 Consumer Preview

Diterbitkan pada Mac 3, 2012 oleh .

Pada muasir ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di seluruh jagatraya tentang kehadiran sistem operasi terbaru daripada Microsoft iaitu Windows 8. Premis ini jelas memberitahu bahawa masyarakat dunia tidak sabar-sabar menanti kemunculan sistem operasi terbaru itu. Windows 8 Developer Preview yang menerima pelbagai reaksi positif pada tempoh hari telah meningkatkan api semangat Microsoft untuk memajukan lagi pembangunan Windows 8. Kini, Microsoft tampil di mata dunia sekali lagi dengan melancarkan versi pembangunan Windows 8 Consumer Preview kepada pengguna secara rasminya.

Arbitrari yang dilakukan mendapati bahawa sebanyak 100 000 perubahan signifikan telah dibawa oleh Windows 8 Consumer Preview daripada versi yang sebelumnya iaitu Windows 8 Developer Preview. Lantarannya, pelbagai pendekatan yang dominan telah diketengahkan untuk memajukan sistem operasi ini ke takuk yang lebih mantap. Memetik kata-kata seorang tokoh terkenal, “masa ibarat pedang”, kami akan menerangkan beberapa fungsi dan perubahan yang terbaru pada Windows 8 Consumer Preview.

Boot Screen

Pada versi yang sebelumnya, proses boot pada Windows 8 Developer Preview telah didatangkan dengan perkataan “Windows Developer Preview” serta titik bulatan beranimasi yang sangat menarik. Perkara itu masih diteruskan lagi pada Windows 8 Consumer Preview dengan menggantikan perkataan tersebut kepada logo Betta Fish versi Metro. Hal ini menunjukkan bahawa sistem operasi itu masih lagi dalam versi percubaan sebelum dilancarkan kelak. Pada akhir sesi boot, sama seperti versi yang sebelumnya, paparan tersebut akan hilang dengan fade effect yang pasti memukau perhatian buat kali pertama melihatnya.

Start Screen

Selepas proses login, seperti mana pada Windows 8 Developer Preview, pengguna akan dibawa ke Start Screen yang menempatkan pelbagai tile aplikasi yang antaranya berasaskan teknologi HTML5. Menariknya, aplikasi yang berasaskan teknologi ini memudahkan pengguna mengakses sesuatu informasi tanpa perlu membuka dan melayari internet dengan menggunakan pelayar web. Terdapat juga tile untuk program yang biasa dilihat pada desktop konvensional Windows seperti Windows Explorer, Internet Explorer, Desktop, Control Panel, dan lain-lain.

Pada versi Windows 8 Consumer Preview, Start screen didatangkan dengan warna latar belakang berwarna biru secara default. Tidak seperti Windows 8 Developer Preview, versi kini membolehkan pengguna menukar reka bentuk latar belakang serta menukar warna latar belakang tersebut.

September lalu, pada persidangan tahunan BUILD, Microsoft telah memaparkan satu fungsi menarik yang dikenali sebagai semantic zoom, tetapi tidak dimasukkan pada Windows 8 Developer Preview. Fungsi semantic zoom membenarkan pengguna mengecilkan Start Screen untuk melihat aplikasi yang berada pada Start Screen tersebut secara menyeluruh. Dari situ, pengguna dapat mengurus, mengubah kedudukan serta menamakan kumpulan aplikasi secara bebas mengikut kehendak pengguna.

Disamping memperkenalkan fungsi semantic zoom pada Windows 8 Consumer Preview, Microsoft juga telah membawa pelbagai pembaharuan pengawalan Start Screen. Jika diteliti, satu fungsi yang dikenali sebagai hidden app bar menawarkan kepada pengguna untuk pin sebarang perisian executable, laman web, kontak, dan lain-lain lagi. Pengguna yang menggunakan desktop juga boleh menggunakan satu fungsi baru yang dipanggil Push untuk skrol kandungan Start Screen secara pantas dengan mengheret kursor ke tepi kiri dan kanan skrin.

Internet Explorer 10

Windows 8 Consumer Preview telah tampil dengan versi pelayar web Internet Explorer 10 yang membawakan versi kod Consumer Preview. Sama seperti pada Windows 8 Developer Preview, ia tampil dalam dua versi, satu versi Desktop Internet Explorer 10 dan satu lagi Internet Explorer 10 dengan antara muka metro. Desktop Internet Explorer 10 masih lagi meneruskan pelayaran web yang pantas dengan sokongan plug-in dan extension. Manakala untuk Internet Explorer 10 dengan antaramuka metro merupakan pelayar bebas plug-in untuk menjamin kestabilan penggunaan.

Apa yang dapat disaksikan, tiada pembaharuan antara muka yang dibawa oleh Windows Internet Explorer 10 pada Windows 8 Consumer Preview sama ada pada mod desktop atau mod metro. Menurut rubrik-rubrik blog di internet, hanya sebahagian perubahan kecil dibelakang tabir sahaja telah dimasukkan ke dalam versi Internet Explorer ini. Walau bagaimanapun, kejituan, kepantasan, dan kestabilan pelayar web ini amat dipuji berbanding versi yang sebelumnya.

Store

Relevan dengan kehendak zaman, syarikat gergasi dari Redmond itu telah membawakan pembaharuan dengan mengimplementasikan fungsi Store pada Windows 8. Fungsi ini dilihat dapat memudahkan pengguna untuk memuat turun aplikasi Metro dengan antara muka yang serba ringkas dan pantas. Apa yang menariknya, Microsoft menawarkan kesemua aplikasi yang berada di Store tersebut secara percuma sehingga versi akhir tiba menjelang hujung tahun ini.

Fungsi Desktop

Fungsi Desktop yang diibaratkan seperti “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” ini masih lagi dikekalkan dalam Windows 8. Secara amnya, antara muka dekstop dan pengalaman menggunakannya saling tidak tumpah seperti menggunakan sistem operasi Windows 7. Pengguna boleh mengaksesnya dengan membuat klik pada tile Desktop di Start Screen. Melalui fungsi ini, pengguna masih lagi dapat mengakses Desktop seperti mana mereka gunakan pada versi Windows yang sebelumnya.

Perubahan yang jelas menonjol pada paparan desktop Windows 8 Consumer Preview ini dapat disaksikan dengan ketiadaan butang Start menu pada bahagian kiri bawah skrin. Start menu yang menjadi sajian harian pengguna PC selama hampir dua dekad ini telah digantikan dengan fungsi Start screen yang amat menarik penggunaannya. Untuk mengakses kembali ke Start screen, pengguna hanya perlu membawa kursor ke sedikit bawah tempat asal Start menu.

Windows Explorer

Tiada pembaharuan Windows Explorer yang dilakukan pada Windows 8 Consumer Preview cuma ada satu perubahan kecil yang dilihat yang mana ribbon toolbar kini telah di-hide-kan secara default. Sifat ribbon yang mengambil ruang yang besar sememangnya menimbulkan ketidakselesaan sesetengah pengguna akan fungsi itu. Sama seperti versi pembangunan Windows 8 Developer Preview, Windows Explorer pada Windows 8 Consumer Preview masih mengekalkan butang “Up” dan nama program di bahagian tengah titlebar.

Lock Screen

Fungsi Lock Screen pada Windows 8 Consumer Preview membolehkan pengguna menukar gambar pada Lock Screen tersebut dengan enam pilihan gambar latar belakang yang menyejukkan halwa mata. Paparan Lock Screen pada Windows 8 memaparkan waktu serta notification yang berlatar belakangkan wallpaper yang telah ditetapkan pengguna tersebut.

Untuk keluar daripada Lock Screen, pengguna perlu mengheretkan Lock Screen tersebut ke atas dan Windows akan membawa pengguna ke tempat sebelum Lock Screen diaktifkan seperti Desktop atau Start screen semula.

Control Panel

Windows 8 Consumer Preview masih mengekalkan nilai elegan pada antara muka Control Panel versi metro. Control Panel versi Desktop masih lagi sama seperti yang terdapat pada versi pembangunan yang sebelumnya. Untuk pengetahuan umum, Windows 8 telah didatangkan dengan dua Control Panel pada mod yang berbeza. Satu Control Panel untuk Desktop dan satu lagi Control Panel dari Start Screen. Segala tetapan telah disatukan dalam antara muka Metro yang kemas dan ringkas.

Charm Bar

Windows 8 sememangnya direka untuk memudahkan pengguna melakukan tugasan harian mereka. Fungsi yang diberi nama Charm Bar menjadi elemen yang cukup penting bagi sistem operasi ini agar lebih mudah untuk digunakan. Untuk memaparkan fungsi tersebut, pengguna hanya perlu menggerakkan kursor di penghujung kanan atas skrin atau menggunakan kombinasi butang Windows + C pada keyboard. Pada Windows 8 Consumer Preview, logo Windows telah digantikan dengan logo baru yang lebih signifikan untuk ke Start screen.

Charm Bar yang direka memudahkan pengguna mengakses beberapa tugasan pada Windows 8 seperti akses pantas ke Start Screen atau menggunakannya untuk tugasan pantas yang lain seperti mengawal sambungan WiFi atau shut down komputer.

App Switcher

Pada Windows 8 Developer Preview, hanya satu cara untuk melakukan penukaran antara aplikasi yang berjalan, menggunakan kaedah tradisional dengan menekan kekunci ALT + TAB pada keyboard. Pada Windows 8 Consumer Preview, antara muka Switcher yang baru telah diperkenalkan, menyediakan cara yang konsisten untuk melakukan penukaran serta mengawal antara aplikasi. Pengguna boleh mengeluarkan Switcher dengan membawa kursor ke atas kiri skrin dan heretkannya ke bawah. Switcher memaparkan aplikasi yang berjalan dalam bentuk thumbnail untuk memudahkan pengguna memilih dan mengakses aplikasi tersebut. Cukup mudah, pengguna hanya perlu tarik keluar salah satu thumbnail tersebut dan lepaskan ke bawah skrin untuk menutup aplikasi tersebut.

App Snapping

Melakukan dua tugasan dalam satu masa sudah menjadi trend oleh pengguna PC hari ini selepas Microsoft memperkenalkan fungsi Aero Snap pada Windows 7. Bertepatan dengan peribahasa, “yang lama dikelek, yang baharu didukung”, Microsoft mengambil inisiatif untuk memperkenalkan fungsi App Snapping pada Windows 8. Fungsi ini membolehkan pengguna untuk Snap aplikasi Metro ke bahagian tepi kiri atau kanan skrin dan pada masa yang sama, skrin utama membolehkan pengguna memaparkan kerja utama mereka. Bayangkan jika aplikasi Twitter dilancarkan kelak, pengguna dapat melalukan tweet ditepi skrin sambil di paparan utama melakukan tugasan pejabat.

Smart Copy

Antara muka Smart Copy kini tampil dengan lebih kemas dan ringkas pada Windows 8 Consumer Preview. Jurutera Microsoft bijak menggunakan mata akal mereka dengan membolehkan Smart Copy mengawal pemindahan fail dengan mudah, seperti menghentikan sesuatu fail itu dipindahkan sementara menunggu yang lain dipindahkan dan sebagainya. Pengguna juga diberi pilihan untuk melihat informasi penghantaran fail seperti kelajuan penghantaran dengan lebih mendalam.

Sokongan Integrasi SkyDrive

Tiada sebarang aplikasi tambahan perlu dimuat turun kerana SkyDrive sudah menjadi sebahagian daripada Windows 8. Aplikasi SkyDrive versi Metro membolehkan pengguna untuk sync fail peribadi mereka ke akaun SkyDrive. Melalui fungsi ini, pengguna dapat mengakses fail mereka pada peranti lain tidak kira masa di mana jua.

Sokongan Integrasi Microsoft Account

Dengan log masuk ke Microsoft account yang dahulunya dikenali sebagai Windows Live ID, pengguna dapat melakukan sync untuk membawa seluruh keperluan peribadi pengguna tersebut pada Windows 8 ke peranti mudah alih serta PC yang lain. Ini termasuk beberapa kandungan seperti PC settings, personalizations (warna tema, wallpaper, lock screen, dan gambar pengguna), ease of access settings, bahasa pilihan, app settings, browser settings, Explorer dan mouse settings, informasi log masuk, dan pelbagai lagi. Apa yang menarik, kesemua ini dijayakan dengan hanya log masuk akaun sahaja.

Sokongan Xbox Live

Satu lagi sokongan yang menjadi titik jualan Windows 8 adalah integrasi di antara sistem operasi dan Xbox Live. Microsoft mengambil pendekatan ini untuk menyatukan desktop mahupun tablet dengan peranti permainan yang menjadi sebutan pengguna pada era ini untuk menjadikannya lebih menarik dan praktikal. Pada amnya, Windows 8 Consumer Preview telah didatangkan dengan dua permainan Xbox Live iaitu Solitare yang ditulis dalam HTML, CSS, dan JavaScript serta Pinball FX2 yang dibina dengan teknologi DirectX.

Konklusi

Evolusi secara holistik yang dibawa oleh Microsoft kepada Windows 8 telah mengubah cara pengguna hari ini menggunakan PC. Bertepatan dengan kata mutiara, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, Microsoft berani melakukan perubahan walau bermain dengan risiko daripada kritikan pengguna. Aspirasi Microsoft untuk mendekatkan pengguna dengan PC dilihat cukup positif apabila lebih sejuta muat turun dalam tempoh 24 jam pada versi Windows 8 Consumer Preview.

Kehadiran beberapa fungsi baru seperti Start screen yang menjadi cerucuk utama sistem operasi terbaru ini tidak lagi menjadi masalah kerana masyarakat hari ini semakin mahir mengawal PC mereka. Dengan hanya beberapa ketika, segala fungsi asas telah dikecapi oleh pengguna. Selain itu, kehadiran aplikasi metro yang memukau perhatian pengguna menjadikan PC tidak lagi sebuah PC biasa malah digunakan secara lebih meluas penggunaannya. Tidak hairanlah PC kini berperanan lebih proaktif dengan menyediakan aplikasi yang setara dengan sebuah telefon pintar.

Pembaharuan yang dibawa oleh Windows 8 tidak seharusnya dipandang enteng oleh pengguna kerana setiap fungsinya ada keistimewaannya yang tersendiri. Ketidakhadiran fungsi Start menu pada mod desktop tidak sepatutnya dijadikan kritikan malah seharusnya disyukuri dengan kehadiran Start screen yang jauh lebih praktikal pada masa kini. Konsep yang dibawa oleh Start screen sebenenarnya hampir sama seperti fungsi Start menu pada sistem operasi konvensional. Pengguna hanya perlu menekan thumbnail kecil Start screen pada sedikit bawah kedudukan asal Start menu dan lihat aplikasi yang dipin dalam antara muka metro yang sangat interaktif. Untuk melancarkan pencarian, pengguna hanya perlu menaip pada keyboard dan secara automatik Start screen melancarkan fungsi pencarian.

Microsoft yang melangkah dengan seribu kekuatan sebenarnya mahu mengajak kita untuk berinteraksi dengan PC dengan lebih lagi. Elemen antara muka serta aplikasi metro pada Start screen telah menyuntik minat penulis untuk menggunakan PC sebagai medium utama produktiviti semula. Penulis akui sejak akhir-akhir ini amat kurang menggunakan PC untuk melakukan tugasan harian seperti membalas e-mel, melakukan tweet, dan membaca berita terkini, malah tugasan tersebut digalas oleh sebuah telefon pintar. Rekaan sistem operasi dengan antara muka konvensional sememangnya sudah lesu dilihat oleh retina masyarakat era dotkom ini kerana tidak menawarkan fungsi dan aplikasi yang intuitif seperti mana yang terdapat pada sesebuah telefon pintar.

Amalan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat yang diamalkan oleh jurutera Microsoft kini membuahkan hasil selepas menerima pelbagai reaksi yang positif daripada pengulas teknologi di seantero dunia. Diharapkan Windows 8 versi akhir kelak yang menampilkan wajah baru disulami tekad ini dapat membina impian masa depan dunia pengkomputeran yang lebih gemilang.

Nukilan Arib Ismail untuk Amanz. Ikuti beliau di @arib2020.

TIPS & ULASAN