Cari @ Amanz

Dengan hampir setiap minggu terdapat peranti Android baru yang dilancarkan, kini salah satu faktor utama yang diberikan perhatian oleh para pengguna adalah mengenai kemaskini yang diterima oleh peranti mereka. Sehingga ke hari ini, hanya beberapa peranti sahaja yang telah menerima kemaskini Ice Cream Sandwich, dengan yang lain masih dalam proses pembangunan lagi.

Namun, berbeza bagi Asus, yang cuba menawarkan kemaskini terkini kepada para pengguna mereka. Asus telah pun menjadi yang terawal dalam menawarkan kemaskini Ice Cream Sandwich untuk tablet mereka, sekaligus membolehkan para pengguna Asus menikmati pelbagai fungsi baru yang dibawakan oleh Android 4.0 itu.

Dan ia tidak berhenti begitu sahaja, apabila kini Asus turut mengatakan akan menjadi yang terawal menawarkan kemaskini Android 5.0 Jelly Bean kepada para pengguna mereka. Buat masa ini, ia masih tidak diketahui bilakah Jelly Bean akan dilancarkan secara rasminya. Namun ramai mensasarkan bulan Jun untuk perkara tersebut.

Asus sebelum ini, telah mengumumkan beberapa peranti pada awal tahun ini, terbaru adalah Padfone yang dilancarkan pada Mobile World Congress yang menggunakan Ice Cream Sandwich, selain turut memperkenalkan kemaskini Ice Cream Sandwich untuk tablet Transformer generasi pertama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd