Pada awal minggu ini, kami telah kongsikan video berkaitan dengan Lytro di laman Facebook kami, memperlihatkan ramai yang kagum dengan kebolehannya. Bagi yang tidak ketahui mengenai Lytro, ia membawakan suatu teknologi serba-baru, membolehkan para pengguna memfokuskan kembali gambar, setelah mereka merakamkannya menggunakan kamere Lytro tersebut.
Lytro yang dimulakan oleh salah seorang anak kelahiran dari Malaysia telah menjadi salah satu projek yang disebut-sebut akhir-akhir ini, sekaligus membawakan sesuatu yang baru kepada bidang fotografi dan juga industri kreatif secara amnya.
Menurut Lytro, ketika para pengguna merakamkan gambar, ia mengumpulkan cahaya dari pelbagai arah, dan seterusnya perisian kamera tersebut membuat pemetaan 3D pada gambar yang dirakamkan, membolehkan sesiapa dengan akses kepada gambar tersebut memfokuskan kembali gambar tersebut mengikut arah pilihan mereka.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui bilakah ianya akan dipasarkan. Namun, semestinya ia bakal menjadi salah satu teknologi yang dinantikan ramai pengguna tempatan dan seluruh dunia.