Apple TV boleh diperkatakan tidak begitu popular di rantau ini, dan masih lagi pada peringkat awal, dengan penggunanya yang masih kecil berbanding barangan Apple yang lain. Hari ini, Apple telah pun memperkenalkan kemaskini untuk Apple TV mereka, yang mana mengekalkan tanda harga yang sama, iaitu $99.
Melalui kemaskini yang diperkenalkan hari ini, Apple membawakan sokongan video HD penuh kepada Apple TV, membolehkan para pengguna menikmati kandungan berbentuk video pada resolusi dan definisi tinggi. Sebelum ini, ia hanya dihadkan kepada 720p, manakala melalui kemaskini yang dikeluarkan hari ini, ia menyokong sehingga 1080p.
Pada masa yang sama, ia turut didatangkan bersama-sama dengan sokongan integrasi perkomputeran awan Apple, iaitu iCloud. Perkara ini, membolehkan para pengguna untuk memainkan video dan kandungan lain yang dibeli, dan memuat-turun sebarang kandungan yang telah dibeli menggunakan sebarang peranti iOS yang lain.