Aplikasi ComicBox Memudahkan Pembacaan Komik Dan Manga Pada iPad

Aplikasi ComicBox Memudahkan Pembacaan Komik Dan Manga Pada iPad

Diterbitkan pada Mac 8, 2012 oleh .

Untuk pembacaan majalah, terdapat beberapa aplikasi yang ditawarkan untuk para pengguna iPad. Tetapi bagaimana pula untuk komik mahupun manga? Salah satu syarikat tempatan, iaitu Xseed Solutions Sdn Bhd, kini telah pun melancarkan sebuah aplikasi berbayar mereka, yang membolehkan para pengguna dengan mudah membaca komik dan manga pada iPad, tanpa sebarang masalah.

Beza Berbanding Aplikasi Pembacaan Komik Lain

Untuk makluman, terdapat beberapa aplikasi pembacaan komik mahupun manga yang lain untuk platform iPad. Tetapi, kebanyakkannya memerlukan para pengguna membeli dahulu komik mahupun manga sebelum dapat membacanya. Pada masa yang sama, ia juga memerlukan para pengguna menantikan untuk suatu masa yang agak lama sebelum sesuatu kandungan itu didapati melalui aplikasi mereka, sekaligus membuatkan mereka yang mengikuti sesuatu komik mahupun manga terlepas beberapa babak berbanding pembaca yang lain.

Perkara ini diatasi oleh ComicBox dengan membolehkan para pengguna untuk menambah kandungan seperti komik dan manga terus pada aplikasi tersebut, dan membacanya melalui iPad mereka. Untuk menjayakan perkara ini, ia menggunakan sokongan integrasi Dropbox pada aplikasi tersebut.

Integrasi Dropbox

Ketika awal permulaan aplikasi tersebut, para pengguna diperlukan untuk mengintegrasikan akaun Dropbox padanya (yang boleh didaftarkan secara percuma). Seterusnya, suatu folder khas akan dibina pada Dropbox, dinamakan sebagai ComicBox.

Seterusnya, pengguna boleh mula menambah fail-fail komik ataupun manga pada folder tersebut, dan seterusnya mengikuti melalui iPad mereka. Dari segi format, ia menawarkan sokongan untuk fail berformat .rar dan .zip (yang mana kebanyakkan manga ditawarkan melalui arena web melalui format tersebut). Ia juga turut menyokong format pembaca komik desktop, seperti .cbr dan juga .cbz.

Pada aplikasi ComicBox, para pengguna dihidangkan dengan menu khas Dropbox, dimana anda boleh memilih komik ataupun manga yang ingin dimuat-turun melaluinya, dan membaca terus melalui aplikasi tersebut.

Pembacaan Dan Pengurusan Komik Atau Manga

Dari segi bacaan pula, ia membawakan sokongan pembacaan yang lancar, tanpa sebarang gangguan. Sebuah bar khas turut disertakan pada bahagian bawah memperlihatkan proses pembacaan mereka. Pengguna boleh keluar daripada aplikasi tersebut pada bila-bila masa, dan mengikuti semula pembacaan, dari mana mereka berhenti.

Untuk menguruskan komik dan manga, aplikasi ComicBox turut menyertakan sokongan membuat Boxes (seumpama folder pada komptuer), dimana anda boleh membina seberapa banyak Boxes yang diinginkan mengikut nama kegemaran anda (nama komik, mahupun jenis kandungan seperti komik atau manga).

Harga

Salah satu masalah yang mungkin mengelakkan pengguna daripada memuat-turun aplikasi ini mungkin dari segi harganya. Ia dijual pada harga $6.99 melalui Apple AppStore, dan boleh digunakan hanya pada tablet keluaran Apple itu sahaja.

Ia masih tidak diketahui samada adakah pihak ComicBox akan menawarkan harga diskaun ataupun versi Lite. Tetapi, ianya mungkin berbaloi kepada para penggemar komik dan juga manga, memandangkan apa yang mereka bayar adalah hanya untuk sekali sahaja, dan tidak perlu mengeluarkan sebarang duit tambahan untuk membeli komik atau manga seperti beberapa aplikasi lain.

Jadi, sekiranya anda berminat, mungkin boleh mendapatkannya terus daripada Apple AppStore pada harga $6.99, dan pada masa yang sama menyokong pembangun aplikasi tempatan.


TIPS & ULASAN