Cari @ Amanz

Pada penghujung acara yang diadakan pada awal pagi hari ini, Apple telah melancarkan iPad generasi baru mereka, dengan sokongan skrin paparan Retina, kamera 5-megapixel dan juga sokongan 4G LTE padanya. Dan pada pengakhiran acara tersebut, Apple mengakhiri dengan sebuah slaid memperlihatkan mereka akan terus membawakan kejutan sepanjang tahun 2012 ini kepada para pengguna mereka.

Jadi, apakah yang bakal dibawakan oleh mereka? Antara yang paling diperkatakan ramai tentunya adalah iPhone generasi baru, selain daripada kemaskini keluarga baru untuk komputer riba mereka, MacBook. Selain daripada itu, apakah lagi yang bakal dibawakan oleh Apple pada tahun ini?

Pada bulan Januari yang lepas, Apple telah memperkenalkan iBooks 2 dan juga iBooks Author yang memfokuskan kepada pasaran buku teks, dan sektor pendidikan, memudahkan mereka mengikuti pelbagai kandungan terus pada iPad mereka. iBooks Author untuk memudahkan membangunkan kandungan berbentuk buku teks, dan terus menerbitkannya melalui platform milik Apple.

Pada bulan Februari pula, Apple telah memperkenalkan kemaskini untuk sistem operasi OS X mereka, iaitu OS X Mountain Lion. Namun, ia hanya diperkenalkan buat para pembangun sahaja buat masa ini, dan dijangka akan dilancarkan kepada umum dalam masa beberapa bulan lagi. Melaluinya, salah satu perkara yang tampak jelas adalah Apple mengintegrasikan OS X bersama iOS dengan lebih mendalam melalui penggunaan iCloud.

Dan pada bulan Mac, kini mereka memperkenalkan iPad generasi baru yang didatangkan dengan sokongan rangkaian LTE, sekaligus memberikan idea awal apakah yang bakal disertakan bersama pada telefon pintar keluaran mereka kelak.

Jadi, apakah yang akan dibawakan oleh Apple pada bulan-bulan akan datang sepanjang tahun ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd