Cari @ Amanz

Ketika menulis pada pelbagai laman web, kadang-kala kita tersilap dalam mengeja beberapa perkataan. Jikalau untuk bahasa Inggeris, pelayar web sedia didatangkan dengan sokongan semakan ejaan. Tetapi bagaimana pula untuk para pengguna yang menulis pada web menggunakan Bahasa Malaysia? Untuk mengatasi perkara ini, anda mungkin boleh mencuba sebuah add-on ringkas dinamakan sebagai MyEja, khas untuk pelayar web Firefox.

MyEja berfungsi seperti pelbagai sokongan add-on lain pada pelayar Firefox, dimana para pengguna boleh memasangnya dengan mudah, secara percuma, dengan hanya satu klik sahaja.

Selesai sahaja pemasangannya, pelayar web anda akan dimulakan semula dengan menyertakan sokongan bahasa Malaysia padanya. Untuk mengaktifkan penggunaan bahasa Malaysia, anda hanya perlu klik-kanan dan memilih bahasa Malaysia daripada pilihan Languages. Pilihan ini biasanya boleh dilakukan sekiranya terdapat kotak input teks pada sesuatu laman web itu.

Selesai sahaja anda mengaktifkannya, ia akan mula menyemak ejaan pelbagai perkataan yang ditaip, dan ditandakan dengan garisan merah sekiranya terdapat sebarang kesilapan. Seperti biasa, anda boleh membetulkannya dengan klik-kanan pada perkataan yang ditandakan itu, dan melihat cadangan yang diberikan olehnya, dan memilih yang sesuai dengan ayat anda.

Berkenaan dengan pembangunan MyEja, ia merupakan salah satu inisiatif daripada Komuniti Mozilla Malaysia, dan dibangunkan berasaskan kepada projek OpenOffice Extension “Kamus Bahasa Malaysia (Malay Dictionary)”. Ia juga dilesenkan di bawah GNU GPL.

Bagi para pengguna Firefox yang berminat, mungkin boleh memasang add-on MyEja ini hari ini, dan mula mengurangkan kesalahan ejaan yang dilakukan pada arena web ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd