Selain daripada perkhidmatan keselamatan dan juga sekuriti, salah satu perkhidmatan popular yang turut disediakan oleh Symantec adalah sokongan untuk membuat salinan pendua data-data penting pada sesuatu organisasi. Dan kini, Symantec telah mengumumkan mereka akan memperkenalkan cara baru dalam melakukannya untuk perniagaan dan perusahaan di Malaysia.
Melalui sokongan baru yang diperkenalkan oleh Symantec, ia membolehkan para penggunanya (yang disasarkan untuk organisasi dan perusahaan) untuk melakukan salinan pendua sehingga 100 kali ganda lebih pantas berbanding perkhidmatan lain. Perkara ini sekaligus memudahkan sesuatu salinan pendua dilakukan, disamping menjadikannya lebih kos efektif berbanding kebiasaannya.
Melalui produk Backup Exec 2012 dan juga NetBackup 7.5, kedua-dua perkara ini dijayakan dengan mudah. Ia bukan sahaja menawarkan sokongan salinan pada server dalam organisasi tersebut, tetapi turut menyertakan sokongan integrasi awan, membolehkan sesuatu data itu disimpan pada server Symantec, dan diakses pada bila-bila masa dengan sambungan internet.
Data juga disimpan secara berkala, membolehkan anda mengembalikan data, fail mahupun dokumen ketika sesuatu tarikh atau masa dengan mudah daripadanya. Di Malaysia, kedua-dua aplikasi ini ditawarkan melalui beberapa rakan kerjasama, termasuk Meseniaga Berhad, Infowhiz Solutions, dan juga CHASSasia.