Selain daripada platform mudah-alih Android, Google juga turut sama mempunyai sistem operasi ChromeOS mereka yang disasarkan untuk pengguna komputer riba, dimana melaluinya ia menawarkan sokongan perkomputeran awan dan menggunakan lebih banyak produk Google yang diintegrasikan kedalamnya.
Pada pelancaran YouTube Malaysia hari ini, Google kelihatan tidak lagi bergantung kepada sistem operasi lain, tetapi menggunakan ChromeOS dalam mendemonstrasikannya kepada umum. Untuk menjayakan perkara ini, Google menggunakan Samsung Chromebook Series 5 padanya.
Namun, dari beberapa maklumbalas yang kami terima daripada para hadirin ketika acara tersebut, kebanyakkannya tidak perasan akan ianya dijalankan pada ChromeOS. Pertanyaan kami kepada pihak Google Malaysia, adakah ianya merupakan salah satu petanda, ChromeOS akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, tidak terjawab sepenuhnya, apabila mereka menyatakan tiada sebarang komen berkaitan dengannya dapat dikeluarkan buat masa ini.
Beberapa pertanyaan kami kepada pihak pengeluar peranti mendapat jawapan yang mana mereka tidak ingin memasarkannya di Malaysia buat masa ini. Salah satu faktor utama adalah disebabkan rangkaian internet di Malaysia yang masih lagi tidak mempunyai kepantasan menyeluruh dengan sokongan disemua kawasan. Memandangkan ChromeOS dijalankan sepenuhnya atas awan, mungkin ini salah satu perkara yang akan membuatkan ia tiba di Malaysia amat lambat berbanding negara lain.