Ura-ura dan laporan berkaitan dengan Google Drive telah kedengaran untuk beberapa tahun, namun tiada sebarang info rasmi daripada Google sehingga ke hari ini. Tetapi, mungkin segalanya akan berubah tidak lama lagi, apabila hari ini, GigaOm melaporkan yang mana mengikut sumber terdekat mereka, Google Drive bakal dilancarkan pada minggu pertama April kelak.
Menurut beberapa informasi awal yang dikumpulkan mereka, ia dikatakan Google bakal menawarkan ruangan storan sebanyak 1GB secara percuma, dan bakal menyediakan klien desktop dan juga web, lebih kurang sama seperti Dropbox. Pada masa yang sama, mungkin kita boleh nantikan aplikasi Android dilancarkan bersama-sama dengannya.
Ia juga dikatakan Google Apps turut sama akan mendapat sokongan Google Drive, selain para pembangun boleh menggunakan sokongan API daripada Google Drive dalam mengintegrasikan perkhidmatan mereka bersama dengannya, memberikan kelebihan pada produk Google itu.
Akhir-akhir ini, berita mengenai Google Drive mula kedengaran dengan lebih kerap, dan beberapa antaramuka awal juga telah mula kelihatan sebelum ini, yang menyerupai Google Docs.
Mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak info kedengaran dalam masa terdekat, dan sekiranya ura-ura ini benar, kita akan dapat melihat sesuatu yang baru daripada Google pada bulan April ini.