Bagi yang sering membuat tempahan untuk teksi melalui panggilan, mungkin anda mengetahui ianya agak leceh, dan perlu melalui pelbagai proses, dan memerlukan data yang banyak setiap kali anda ingin membuat tempahan. Namun, perkara ini cuba diselesaikan dan dimudahkan melalui aplikasi MyTeksi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Melalui aplikasi MyTeksi, ia didatangkan dengan sokongan geolokasi untuk memudahkan anda menghantar notifikasi kepada teksi berhampiran untuk mengambil anda. Anda juga boleh mengubah kedudukan dengan mudah, dan selepas itu, memilih lokasi yang ingin dituju oleh anda.
Seterusnya, pilihan anda itu akan dihantar kepada teksi-teksi berhampiran, membolehkan mereka mengetahui dan memberikan respon. Sebaik sahaja pemandu teksi berhampiran memberi respon, anda kemudiannya boleh memilih pemandu teksi yang diinginkan (sekiranya terdapat lebih daripada satu pemandu berdekatan).
Melalui demo yang diperlihatkan pada WebCampKL Mac, selesai sahaja memilih pemandu, anda akan diperlihatkan dengan tempoh masa yang diambil oleh pemandu tersebut datang dan mengambil anda. Notifikasi dalam bentuk SMS juga akan diberikan kepada mereka yang membuat tempahan, selain daripada notifikasi pengesahan melalui aplikasi.
Buat masa ini, menurut pembangun tersebut, ia masih lagi pada peringkat ujian, dan mereka sedang membuat ujian beta secara tertutup, dimana anda boleh menyertainya dengan mendaftar pada laman MyTeksi.com. Namun, hendaklah diambil perhatian, walaupun ianya ujian beta, setiap kali anda membuat panggilan teksi, ianya adalah interaksi sebenar.
Menurut pembangunnya juga, mereka meliputi kawasan Lembah Klang buat masa ini, dengan memfokuskan beberapa lokasi utama, seperti USJ dan sebagainya. Mereka juga menyediakan peranti seperti telefon pintar untuk pemilik teksi dalam menjayakan aplikasi ini.