MeeGo boleh dikatakan sebagai salah satu platform mudah-alih dengan sokongan multi-tasking yang baik. Jikalau sehingga ke hari ini, Nokia hanya mengeluarkan satu peranti MeeGo sahaja, dengan tanpa sebarang pengumuman perancangan lain, kini melalui ura-ura terbaru yang kedengaran, ia diperkatakan Nokia sedang membangunkan dua lagi peranti berkos rendah menggunakan MeeGo.
MeeGo mungkin merupakan salah satu platform yang lebih baik untuk digunakan pada peranti berkos rendah, berbanding dengan Windows Phone, selain lebih lancar dan sebagainya. Salah satu kekurangan yang mungkin terdapat padanya adalah kekurangan sokongan aplikasi dan sebagainya, berbanding platform Windows Phone.
Pembangun sebelum ini tidak membangunkan aplikasi mereka untuk platform MeeGo, kerana platform itu sendiri tidak mendapat sokongan penuh daripada Nokia, disamping beberapa alternatif untuknya, termasuk Tizen yang bakal memasuki pasaran tahun ini.
Sekiranya perkara ini benar, maka mungkin kita akan terus melihat beberapa peranti baru MeeGo daripada Nokia, selain daripada peranti keluarga Symbian dan juga Windows Phone, mensasarkan untuk pasaran telefon pintar mampu milik untuk negara membangun.