Tidak boleh dinafikan, media baru mula memberikan kesan kepada media cetak secara amnya. Walaupun ia masih belum memberikan kesan serius kepada pasaran tempatan, beberapa syarikat telah mula memfokuskan ke arah digital, dimana selain daripada NST yang melancarkan pelbagai aplikasi, kini majalah terkemuka, PCdotCOM turut sama mengambil arah kepadanya.
Hari ini, melalui acara Anugerah Tahunan PCdotCOM, mereka mengumumkan mengenai aplikasi rasmi mereka untuk iPad yang membolehkan para pengguna membeli majalah digital PCdotCOM, dan mengikutinya terus melalui tablet Apple kegemaran mereka. Untuk pengguna tablet lain seperti Android dan juga PlayBook, mereka boleh mengaksesnya dan membelinya melalui Zinio.
Melalui digital, memandangkan kos menghasilkannya lebih rendah, pengguna juga boleh mendapatkannya pada harga yang lebih murah, dimana kini PCdotCOM meletakkan harga sekitar $1.99 untuk setiap isu.
Mungkin dengan beberapa syarikat akhbar terkemuka memfokuskan kepada aplikasi digital mereka, dan kini PCdotCOM turut melancarkan aplikasi iPad menggunakan platform AIYO daripada Terato Tech, mungkin kita akan melihat lebih banyak syarikat beralih kepada penerbitan digital dalam masa terdekat ini.