Cari @ Amanz

Dengan akses internet yang berkembang pesat dari hari ke hari, kemunculan media-media atas talian juga bertambah. Pada Majlis Malam Kewartawanan Malaysia semalam, Perdana Menteri, Najib Razak mengumumkan yang mana pindaan akta mesin cetak dan penerbitan 1984 akan dibentangkan pada sesi perlimen yang sedang berlangsung, untuk turut mengambil kira media digital padanya.

Buat masa ini, akta tersebut hanya meliputi media cetak sahaja, dan kerajaan tidak ingin memberi layanan berbeza dalam peraturan dikalangan media cetak mahupun media digital. Perdana Menteri turut sama mengatakan yang mana Kerajaan tidak akan campur tangan dan terpulanglah kepada industri untuk mengawal selia diri mereka berkaitan dengan profesionalisme kewartawanan ini. Kerajaan akan menerima apa juga cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa khas yang telah dibentuk oleh pengarang-pengarang untuk menghasilkan kod etika yang boleh digunakan dan dilaksanakan sepenuhnya kelak.

Memandangkan perkara ini masih lagi pada peringkat awal, ia masih lagi tidak diketahui samada adakah pindaan akta ini akan turut melibatkan blog-blog tempatan, ataupun bagaimana. Mungkin kita akan tahu lebih lanjut lagi setelah pindaan akta ini dibentangkan di parlimen tidak lama lagi.

Untuk makluman, pada masa sekarang ini, media digital telah pun mula memberikan kesan yang serius kepada media cetak dan juga media yang lain. Perkara ini adalah disebabkan oleh kos yang diperlukan untuk media digital adalah lebih rendah berbanding dengan media lain di luar-talian yang terdapat sekarang ini.

Menurut sebuah kajian bebas yang dilakukan oleh FutureExploration sebelum ini, ia memperlihatkan yang mana surat khabar bercetak akan mula pupus di Malaysia bermula tahun 2029 kelak. Sekarang sendiri, generasi baru sudah mula merujuk kepada media digital seperti aplikasi iPad dan web untuk mendapatkan berita semasa mereka. Apatah lagi, syarikat media terkemuka seperti The Star, NST dan sebagainya turut sama telah memulakan sokongan untuk aplikasi dan web mereka dengan lebih serius lagi.

Dengan dunia sendiri bergerak ke arah media digital, mungkin pindaan akta ini salah satu perkara yang baik. Namun, persoalannya kini adalah ia melibatkan blog-blog tempatan dan sebagainya yang memfokuskan kepada topik-topik seperti hal peribadi dan sebagainya. Jikalau ya, mungkin pihak syarikat pengiklan blog tempatan seperti Nuffnang, Advertlets dan sebagainya akan menerima kesan yang serius dari segi pendapatan mereka kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd