Carian
Dana Belia 1Malaysia Selepas Setahun – Adakah Projek Yang Dihasilkan Berguna Ataupun Sebaliknya?
April 2, 2012 Aman

Dana Belia merupakan salah satu projek dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan untuk usahawan muda dalam membangunkan projek-projek yang membantu komuniti secara amnya. Dan dikalangan beberapa projek awal yang dilancarkan, beberapa projek adalah berkaitan dengan industri IT, iaitu termasuk RakanSukan, AppsMalaysia dan juga Sofees.

Jadi, bagaimanakah prestasi projek-projek tersebut setelah lebih setahun diumumkan yang mana mereka mendapat dana tersebut?

RakanSukan

Bagi yang tidak kenali akan laman RakanSukan, ianya merupakan salah satu laman sosial yang memfokuskan kepada para peminat sukan. RakanSukan telah menerima dana sebanyak RM150,000 daripada 1MDB. Kami tidak mengetahui apakah perjanjian dengan pihak berkuasa dalam memberikan dana kepada mereka, tetapi semestinya ianya menyertakan sebahagian untuk pembangunan dan juga pemasaran.

Namun, setelah sekian lama dilancarkan, mereka hanya mempunyai angka pengguna kurang daripada 550 orang sahaja setakat ini, memperlihatkan ianya tidak dipasarkan dengan baik. Walaupun kami jatuh cinta dengan rekabentuk laman tersebut, tetapi sekiranya tidak dipasarkan dengan baik, maka masih tiada gunanya.

AppsMalaysia

AppsMalaysia pula salah satu projek dalam mempromosikan dan menyokong pembangunan aplikasi oleh para pengguna tempatan. Sehingga ke hari ini, mereka telah melancarkan sebanyak 4 aplikasi (setakat yang kami perasan), dan semua aplikasi yang ditawarkan adalah berbayar, kecuali salah satu aplikasi berbentuk permainan. AppsMalaysia turut menerima dana sebanyak RM150,000 daripada 1MDB.

Dari segi antaramuka aplikasi tersebut, ia masih perlu dipertingkatkan lagi, dan boleh dikatakan masih ditahap mendukacitakan lagi. Disamping itu, struktur harga aplikasi yang dilakukan oleh pihak AppsMalaysia juga dilihat seperti tidak betul (Sheal berharga $5.99), menjadikan ia satu tanda tanya, adakah benar mereka boleh memasarkan aplikasi yang dibangunkan pembangun tempatan dengan baik?

SOFEss

SOFEss membawakan konsep sebagai laman sosial untuk pendidikan. Walaupun ideanya mungkin dilihat ringkas, namun laman SOFEss dilihat mengalami peningkatan dari hari ke hari. Setelah memulakannya dengan sebagai laman sosial biasa pada awalnya, kini ia telah berevolusi dengan menyertakan beberapa perkara tambahan, termasuk sokongan webinar dan sebagainya, dalam memudahkan para pengguna menggunakan perkhidmatan mereka.

Disamping itu, SOFEss turut menyertakan sokongan ujian atas-talian dalam pelbagai topik, membolehkan para penggunanya yang lebih memfokuskan kepada para pelajar mengambil ujian tersebut terus daripada dihadapan komputer mereka.

Pembangunnya juga turut menjanjikan akan menambahkan lebih banyak sokongan dan fungsi tambahan pada laman tersebut dari semasa ke semasa. SOFEss telah menerima dana sebanyak RM100,000 melalui 1MDB.

Lain-lain

Selain daripada projek berkaitan dengan IT, 1MDB juga turut memberikan dana untuk sokongan dan projek-projek berasaskan komuniti yang lain. Namun, salah satu perkara yang dilihat adalah ia seperti tidak dipantau dengan baik, menjadikan beberapa projek seperti tidak dibangunkan dengan baik setelah menerima dana daripada pihak kerajaan.

Jadi, apa pendapat anda pula berkenaan dengan 1MDB dan projek-projek yang dihasilkan melaluinya ini?

Komen