Setelah pembangun Mozilla mengumumkan mengenai pembangunan pelayar web Firefox yang dioptimasikan khas untuk antaramuka Metro, kini beberapa gambar paparan pembangunan awal telah pun mula kelihatan, memperlihatkan yang mana kelak, Firefox versi Metro akan menjadi salah satu pelayar web yang diintegrasikan sepenuhnya bersama Windows 8 selain daripada Internet Explorer 10.
Menurut pembangunnya, buat masa ini, aplikasi prototaip ini dibangunkan berdasarkan kepada kod Fennec XUL, dan mengubah antaramuka utamanya di atas sebab-sebab prestasi aplikasi tersebut. Memandangkan ia masih pada peringkat awal, masih tidak diketahui samada adakah mereka akan kekal menggunakan Fennec sebagai asas, mahupun beralih pada masa akan datang.
Buat masa ini, aplikasi prototaip Firefox Metro ini berfungsi dengan cemerlang, dimana turut membawakan sokongan snap membolehkan para pengguna menjalankan dua aplikasi pada masa yang sama, bersebelahan antara satu sama lain. Ia turut membawakan integrasi carian melalui Search Charm, membolehkan anda membuat carian kepada Firefox daripada mana-mana bahagian di Windows 8.
Sokongan Metro adalah salah satu perkara yang penting, dimana buat masa ini, hanya Internet Explorer sahaja yang didapati untuknya, selain Chrome dan Opera dikatakan sedang dalam proses pembangunan. Sekiranya Firefox berjaya melancarkan Firefox Metro sebelum pesaing yang lain, mungkin mereka akan mendapat beberapa kelebihan, apatah lagi sekiranya sesebuah pelayar web itu ditetapkan sebagai default pada Metro, ia juga akan menjadi pelayar web default apabila para pengguna menggunakan antaramuka desktop biasa.