Galaxy Nexus yang menggunakan Android Ice Cream Sandwich telah pun dilancarkan hampir enam bulan yang lepas, dan kini, angka pengguna yang menggunakan platform Ice Cream Sandwich telah pun mencapai 2.9%, dan masih didahului oleh Android Gingerbread dengan peratusan penggunaan sebanyak 63.7%.
Walaubagaimanapun, dalam bulan-bulan akan datang, semestinya angka pengguna yang menggunakan Android Ice Cream Sandwich akan terus meningkat, apatah lagi beberapa pengeluar seperti HTC telah pun mengeluarkan peranti Ice Cream Sandwich mereka, disamping kemaskini Android 4.0 yang bakal diperkenalkan kepada lebih banyak peranti sedia ada dalam minggu-minggu akan datang.
Buat masa ini, salah satu masalah yang dihadapi boleh dikatakan yang mana kemaskini untuk peranti Android dikeluarkan agak lambat, dan mengambil masa yang agak lama untuk diperkenalkan kepada semua pengguna. Salah satu syarikat yang dilihat mengambil berat perkara ini adalah Asus, yang mengeluarkan kemaskini dengan lebih pantas berbanding pengeluar yang lain.
Angka peratusan penggunaan versi Android ini dikeluarkan oleh Google untuk membantu para pembangun membangunkan aplikasi yang dioptimasikan untuk versi Android yang digunakan oleh paling ramai pengguna seluruh dunia.