Carian
Project Glass Daripada Google Membawakan Kaca Mata Pintar Dengan Sokongan AR
April 5, 2012 Aman

Pada awal April ini, Canonical memperlihatkan idea gila-gila mereka berupa kaca mata pintar, yang dijana menggunakan Ubuntu. Dan kini, Google pula memperlihatkan projek yang diperkatakan sebelum ini, dinamakan sebagai Project Glass, iaitu kaca mata pintar dengan sokongan Augmented Reality, yang sedang diuji oleh mereka secara realiti, dan bukannya sekadar idea seperti pihak Canonical.

Buat masa ini, kaca mata pintar tersebut dengan sokongan Augmented Reality itu dalam fasa ujian, dan Google telah pun menyediakan halaman Google+ khas untuknya, selain daripada sebuah video demonstrasi yang turut diperlihatkan oleh pihak Google.

Melalui video yang diperlihatkan, ia membolehkan para pengguna mengetahui pelbagai perkara, dan didatangkan dengan sokongan input suara untuk melakukan carian lokasi, serta pada masa yang sama untuk membalas mesej yang diterima dan sebagainya.

Ia juga didatangkan dengan integrasi beberapa produk Google lain, seperti Google Music untuk mendengar lagu, kamera untuk merakamkan gambar, serta turut didatangkan dengan sokongan panggilan video padanya.

Melihat videonya sahaja membuatkan kami ternanti-nanti untuk melihat sendiri kaca mata pintar daripada pihak Google, serta pelbagai persoalan timbul, seperti sokongan kad SIM, bagaimana kamera berfungsi, dan sebagainya. Mungkin kita akan dapat melihat pelbagai informasi berkaitan dengan Project Glass ini daripada Google pada minggu-minggu akan datang.

Komen