Cari @ Amanz

Salah satu masalah utama dikalangan pembangun tempatan adalah kekurangan duit mahupun bantuan kewangan. Walaupun terdapat beberapa projek seumpama KickStarter yang membantu usahawan mahupun pengguna biasa dalam membangunkan projek mereka, ia seperti tidak mesra dengan pengguna Malaysia, dan untuk mengatasinya, laman dengan fungsi seumpama KickStarter bakal dilancarkan pada bulan Mei kelak, dinamakan sebagai PitchIN.

Secara ringkasnya, PitchIN kelak akan berfungsi dan membawakan sokongan crowdfunding membolehkan para pengguna umum menyumbang bantuan kewangan untuk sesuatu projek, dan sebagai balasan, mereka akan menerima sesebuah ganjaran daripada pembangun tersebut kelak, berdasarkan kepada sumbangan mereka. Setiap projek akan mempunyai tempoh masa antara 30 hingga 60 hari dalam mengumpulkan bantuan kewangan, dan sekiranya sesuatu projek tersebut tidak mencapai sasaran, maka wang-wang yang disumbangkan akan dikembalikan semula kepada penyumbang, sebaliknya sekiranya berjaya mencapai sasaran, maka pembangun projek tersebut akan menerima bantuan kewangan tersebut.

Sebelum ini, salah satu projek seumpamanya pernah cuba dibangunkan, dinamakan sebagai Mulakan. Namun, ia terpaksa dihentikan apabila pembangunnya mula memfokuskan tenaga kepada VoucHEREs, dan projek Mulakan tersebut terabai. Mungkin, kini dengan PitchIN yang bakal dilancarkan pada 10 Mei akan datang ini, ia akan membantu lebih ramai usahawan tempatan, mahupun projek-projek menarik terhasil daripadanya, disamping memangkin idea kreatif dikalangan rakyat tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd