Nampaknya lebih ramai pembangun yang kini beralih kepada OpenStreetMap dari hari ke hari. Jikalau sebelum ini FourSquare dengan Apple mula menggunakan teknologi daripada OpenStreetMap, kini WikiPedia turut sama mengemaskini aplikasi mereka, dengan menggunakan sistem pemetaan daripada OpenStreetMap, mengantikan Google Maps yang digunakan sebelum ini.
Bersama-sama dengan perubahan ini, mereka turut memperkenalkan aplikasi Wikipedia rasmi untuk platform iOS, membolehkan para pengguna menggunakan dan mengakses info-info daripada Wikipedia dengan lebih pantas lagi. Ia turut didatangkan dengan sokongan untuk paparan diluar-talian, sokongan pekongsian sosial, integrasi peta untuk lokasi-lokasi berhampiran, dan artikel berkaitan lokasi-lokasi berhampiran, serta pilihan bahasa untuk anda.
Sebelum ini Wikipedia turut sama telah memperkenalkan sokongan aplikasi Wikipedia untuk para pengguna Android, dan menurut mereka, aplikasi untuk iOS ini dibangunkan berdasarkan kepada kod Android, dan diubah menggunakan sokongan PhoneGap. Bagi para pengguna iOS yang berminat, anda boleh memuat-turunnya secara percuma daripada AppStore hari ini, dan mula mengakses pelbagai artikel Wikipedia terus daripada peranti iOS anda hari ini.